Kita juara dalam empat acara dunia termasuk acara lompat...

No Image Caption
A
A
A

KETIKA berbuka puasa baru-baru ini kawan baik Belalang mengatakan bahawa Malaysia kini telah menempa nama dalam empat acara besar di peringkat dunia.

Dalam situasi negara kita sedang suram dek pandemik Covid-19, kenyataan kawan baik Belalang itu mencetus keterujaan.

Jadi Belalang pun dengan penuh rasa bangga bertanya balik, apakah empat acara itu?

Dia dengan selamba menjawab, dalam acara terjun wanita, skuasy, badminton dan yang keempat acara lompat.

Belalang tanya semula, setahu Belalang la, belum pernah lagi kita menghasilkan juara dunia dalam acara itu.

Belalang sebut, satu-satunya jaguh lompat pagar yang Malaysia lahirkan ialah Allahyarham Ishtiaq Mubarak yang bertanding dalam tiga temasya Olimpik pada tahun 1968, 1972 dan 1976.

Lain pada tu Belalang tak pernah tahu pun.

Dengan pantas dia cakap, bukan lompat pagar tapi lompat parti.

Artikel Berkaitan:

Sebaik saja dia sebut acara lompat parti, hampir tersembur keluar juadah berbuka puasa yang sedang Belalang makan.

Memang kelakar sehingga Belalang ketawa terbahak-bahak.

Belalang nak nafikan pun tak boleh sebab memang lompat- melompat parti sering berlaku di negara kita. Macam mana nak menafikannya.

Sementara itu, tinjauan yang Belalang lakukan di sekitar ibu kota semalam (Sabtu) mendapati suasana membeli-belah agak suram.

Banyak gerai yang menjual barang-barang keperluan raya seperti pakaian, songkok, samping dan baju kurung di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini.

Bukan tidak ada orang langsung tetapi suram dan tidak semeriah dahulu. Sekali pandang boleh nampak dengan jelas.

Pada masa yang sama Belalang turut menerima hantaran video daripada seorang sahabat yang merakamkan suasana di dalam pusat rawatan sementara pesakit Covid-19 di Serdang, Selangor.

Belalang tengok pun memang semak perut.

Manakan tidak, keadaannya tidak memberangsangkan dengan ramai pesakit yang terbaring di atas katil dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.

Kita tengok pun kita jadi layu dan tak bermaya apatah lagi mereka yang jadi ‘penghuni’ sementara di situ.

Dalam video tu Belalang terdengar suara orang memberi komen: “Alahai! Aku rasa macam nak balik rumah la...”

* Belalang - Lebih rela terperap di rumah daripada di luar dalam era pandemik ni...