X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja maut, bapa dipercayai terlelap ketika memandu

Kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 82 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A

KOTA TINGGI - Seorang remaja maut, manakala bapanya yang memandu sebuah lori cedera di kepala apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lain di Kilometer 82 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pada Sabtu.

Kejadian sebelum simpang masuk ke Felcra Sungai Ara kira-kira jam 11.35 pagi itu melibatkan lori jenis Hino dipandu Mohd Azrul Hafis Kamisan, 39, dan seorang penumpang iaitu anaknya, Nur Alif, 15, dengan lori jenis Foton dipandu Mohd Haris Rapmay, 49.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kemalangan itu, lori Hino dalam perjalanan dari Jalan Johor Bahru menghala ke Mersing, manakala lori Foton pula sedang diletakkan di bahu jalan kiri hala yang sama.

"Ketika sampai di tempat kejadian, pemandu Hino telah hilang tumpuan akibat terlelap semasa memandu, lalu hilang kawalan dan melanggar lori Foton yang sedang parkir di bahu jalan kiri hala yang sama.

"Pemandu Foton yang berada di Surau Felcra Berhad di seberang jalan tersebut hendak menunaikan solat duha terkejut mendengar bunyi kemalangan lalu terus cuba membantu mangsa kemalangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu remaja tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada seluruh bahagian badan, manakala bapanya cedera di bahagian kepala.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!