X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 meriah, kreatif

Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 adalah inisiatif kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk menghidupkan kembali tradisi memasang pelita pada bulan Ramadan seperti zaman dahulu. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Penganjuran Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021yang menjadi acara tradisi di Terengganu bukan mencontohi kepercayaan agama lain sebaliknya bertujuan mengembalikan nostalgia dan cara hidup generasi terdahulu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, program di Kampung Budaya Terengganu kali ini menunjukkan identiti istimewa di tujuh daerah di negeri ini.

Katanya, pelbagai kreativiti yang ditampilkan menerusi program yang diadakan sejak Khamis lalu sekali gus membangkitkan kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan beberapa hari lagi.

"Tujuan asal kita adakan pelita raya ini bukanlah bersifat khurafat dan bukan juga atas dasar kepercayaan atau meniru agama lain.

"Kita anggap ia sebagai budaya generasi terdahulu kerana pada zaman dahulu nenek moyang kita tiada bekalan elektrik sekaligus melambangkan besarnya pengorbanan orang-orang terdahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau program tersebut di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, penganjuran program bermula 6 hingga 11 Mei tahun ini menampilkan sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Besut dikecualikan daripada menyertai program itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di daerah berkenaan bagi tempoh 14 hari bermula 7 hingga 20 Mei.

Limpahan cahaya pelita pelbagai bentuk yang direka khas oleh kakitangan setiap pejabat daerah mewakili lambang istimewa yang sinonim di daerah masing-masing dan berjaya membangkitkan kemeriahan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. - Foto Bernama
Limpahan cahaya pelita pelbagai bentuk yang direka khas oleh kakitangan setiap pejabat daerah mewakili lambang istimewa yang sinonim di daerah masing-masing dan berjaya membangkitkan kemeriahan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. - Foto Bernama

"Kebiasaannya program ini melibatkan penyertaan rakyat Terengganu yang turut serta menghiasi halaman rumah masing-masing mengikut kreativiti mereka.

"Bagaimanapun tahun ini kita terpaksa mengubah format penganjuran dengan melibatkan penyertaan pejabat-pejabat daerah untuk menghias setiap rumah tradisional di Kampung Budaya Terengganu. "Pengubahsuaian format pertandingan kali ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu bagi mencegah penularan Covid-19.

Selain itu, jumlah pengunjung untuk menyaksikan kemeriahan pelita raya juga dihadkan hanya 300 orang dalam satu masa," katanya.

Pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 menawarkan hadiah wang tunai RM1,500 bagi tempat pertama, RM1,000 (tempat kedua), RM800 (tempat ketiga) dan RM300 (saguhati).

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan menerusi media sosial Facebook dan Instagram dengan memuat naik gambar yang diambil di Kampung Budaya Terengganu 2021 dengan meletakkan tanda pagar #BeautifulTerengganuMalaysia, #KampungBudayaTerengganu, #MajuBerkatSejahtera dan #PelitaRayaBTM2021.

Tawaran hadiah wang tunai sehingga RM300 turut disediakan kepada pengunjung.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!