Hab industri perkayuan bakal diwujud selesai isu kos urus kilang

Mohd Khairuddin (kanan) menerima cenderahati dari Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd Noor (kiri) selepas majlis dialog bersama pemain industri perkayuan Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohd Khairuddin (kanan) menerima cenderahati dari Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), Mazli Zakuan Mohd Noor (kiri) selepas majlis dialog bersama pemain industri perkayuan Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mewujudkan hab industri perkayuan untuk membantu pengusaha industri itu menyelesaikan isu kos pengurusan kilang.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, pengusaha kilang perkayuan di sini berdepan masalah kos pengurusan disebabkan realiti Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi dan maju.

"Di sini saya melihat ada keperluan untuk kita menyelesaikan masalah itu dan saya akan minta Majlis Kayu-Kayuan Malaysia (MTC) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk lakukan kajian," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama industri perkayuan Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hab itu juga bertujuan memperkembang industri perkayuan di wilayah ini.

Mohd Khairuddin berkata, Pulau Pinang memiliki lebih 100 pengusaha industri perkayuan dan mereka amat memerlukan kerjasama semua pihak untuk terus maju.

"Industri kayu-kayan telah menyumbang kepada pendapatan nilai eksport sebanyak RM22.02 bilion tahun lepas dan Pulau Pinang menyumbang sebanyak 5.3 peratus atau RM1.16 bilion," katanya.

Mohd Khairuddin juga berkata, semua industri komoditi negara termasuk perkayuan merupakan sektor yang diuruskan secara mampan.

Beliau berkata, industri perkayuan bukanlah punca berlakunya perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

"Kita amat bertuah kerana lebih 50 peratus keluasan di negara ini masih diliputi hutan yang merupakan antara ekosistem hutan yang tertua di dunia dan kita juga ada 50 peratus hutan simpan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Majlis Persijilan Kayu Malaysia adalah agensi yang memantau industri itu supaya mengikut kepiawaian mampan ditetapkan dan mana-mana syarikat yang gagal mematuhinya tidak dibenarkan mengeksport produk mereka. - Bernama