Pahang catat KDNK RM71 bilion pada 2025

A
A
A

No Image Caption

KUANTAN – Pahang mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM71 bilion pada tahun 2025 berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Perkembangan itu berdasarkan Laporan KDNK Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.

Laporan berkenaan menunjukkan ekonomi Pahang berkembang 3.2 peratus dengan menyumbang 4.1 peratus kepada KDNK Malaysia, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama ekonomi negeri dengan mencatatkan pertumbuhan lima peratus, sama seperti tahun lalu.

Prestasi sektor tersebut didorong oleh perkembangan kukuh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, sektor pembuatan berkembang 1.4 peratus dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang merupakan penyumbang terbesar kepada sektor berkenaan dengan pertumbuhan sederhana 1.1 peratus.

Pada masa sama, sektor pertanian turut merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 2.7 peratus dengan subsektor tanaman sebagai penyumbang utama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, sektor pembinaan menguncup 5.3 peratus selepas berkembang 8.6 peratus pada 2024 berikutan kemerosotan ketara dalam subsektor kejuruteraan awam yang susut 28.3 peratus.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang pada Khamis, prestasi itu mencerminkan daya tahan ekonomi negeri dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menurut kenyataan itu, sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian terus menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi negeri.

"Kerajaan Negeri Pahang akan terus memperkukuh momentum pertumbuhan melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030 (PET30) yang memberi fokus kepada pelaburan berkualiti, pembangunan industri bernilai tinggi, peningkatan produktiviti dan penciptaan peluang ekonomi baharu bagi memastikan kemakmuran negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!