Sultan Perak berkenan terima zakat RM14.4 juta

Sultan Nazrin (kanan) menerima cek zakat perniagaan TH yang dipersembahkan Mohamad Abas dalam satu majlis ringkas di Istana Kinta, Ipoh pada Jumaat. - Foto MAIPK
Sultan Nazrin (kanan) menerima cek zakat perniagaan TH yang dipersembahkan Mohamad Abas dalam satu majlis ringkas di Istana Kinta, Ipoh pada Jumaat. - Foto MAIPK
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada lapan agensi korporat bernilai RM14.4 juta dalam satu majlis di Istana Kinta di sini pada Jumaat.

Lembaga Tabung Haji (TH) menjadi agensi tertinggi menyumbang zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2020 iaitu sebanyak RM7 juta diikuti Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM4.6 juta, Puncak Emas Infra Sdn Bhd (RM800,000) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak (RM692,046).

Selain itu, turut membayar zakat perniagaan pada majlis itu, Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad sebanyak RM494,467, Belati Wangsa (M) Sdn Bhd (RM302,000), Maybank Islamic Berhad (RM295,695) dan Telekom Malaysia Berhad (RM211,062).

Majlis berkenaan berlangsung secara ringkas dengan penuh istiadat mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Serahan zakat tersebut diwakili oleh Pengarah TH Perak, Mohamad Abas; Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman; Pengurus Besar Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Ir Saiful Azzuan Aznam dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Turut sama menyerahkan zakat perniagaan itu, Pengerusi Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh Perak Berhad, Salleh Hudin Kamarudin; Pengurus Hal Ehwal Korporat Belati Wangsa (M) Sdn Bhd, Shahrizal Kamarulzaman; Pengarah Serantau Maybank Islamic Berhad, Datin Munirah Che Rose serta Pengurus Besar Regulatory & Strategy Telekom Malaysia Berhad, Badrul Hisham Bahari.

Dalam pada itu, Shahrul Azam dalam satu kenyataan berkata, syarikat yang membayar zakat perniagaan akan dapat mengukuhkan reputasi mereka dengan pelanggan masing-masing malah dapat memenuhi tuntutan pemegang taruh muslim setiap syarikat.

“Ketika kita berada dalam persekitaran yang amat mencabar sekarang, syarikat korporat bukan sahaja perlu bersaing untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap serta mengeluarkan produk yang berkualiti tetapi juga perlu bersama menonjolkan sikap kepedulian terhadap mereka yang memerlukan melalui pengagihan kekayaan zakat syarikat bagi membantu sosio ekonomi masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.