X

Kindly register in order to view this article
!

Tumpu pendidikan anak tentera

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada pelajar STAY ATM pada Majlis Berbuka Puasa di Kem Perdana Sungai Besi pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR- Aspek kebajikan anak-anak anggota termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga awam Kementerian Pertahanan khususnya dalam bidang pendidikan akan diberi lebih perhatian pada tahun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif pendidikan yang akan memberi manfaat kepada seluruh anak warga pertahanan yang berkelayakan.

Menurut beliau, antara inisiatif tersebut ialah kuota sebanyak 20 peratus diperuntukkan untuk anak-anak anggota serta veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan untuk memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD).

Di samping itu, katanya, sebanyak 10 peratus kuota khas juga akan diberikan khusus kepada lepasan Maktab Tentera DiRaja (MTD) untuk memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan ia tertakluk kepada pematuhan syarat minimum kemasukan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, sebanyak 30 peratus pula dikhususkan kepada anak anggota ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan untuk memasuki MRSM ATM-Ulul Albab (Bera).

“Kementerian turut menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan sekolah-sekolah melibatkan 38 buah Sekolah Dalam Kem ATM. Pihak kementerian dan ATM sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan setiap anggotanya termasuk ahli keluarga.

“Dalam memastikan kesiapsiagaan ATM berada di tahap tertinggi, kebajikan anggota dan keluarga sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim ATM (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Rabu.

Ismail Sabri (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar STAY ATM pada Majlis Berbuka Puasa di Kem Perdana Sungai Besi pada Rabu.
Ismail Sabri (dua dari kiri) beramah mesra dengan pelajar STAY ATM pada Majlis Berbuka Puasa di Kem Perdana Sungai Besi pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, majlis berbuka puasa berkenaan secara tidak langsung memberikan peluang kepada beliau untuk melihat dari dekat perkembangan dan keperluan 85 pelajar di STAY ATM.

“Saya juga dapat melihat sendiri suasana pengajian dan kehidupan pelajar-pelajar ini. Saya turut berpeluang menyampaikan sedikit sumbangan Ramadan secara peribadi kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, STAY ATM ditubuhkan pada 1 Mac 2013 dan berfungsi mendidik serta melatih pelajar-pelajar dalam bidang Tahfiz Al-Quran dan Ulum Islamiah serta memelihara kebajikan anak-anak tentera.

Sepanjang tempoh pengoperasiannya, menurut beliau, seramai 76 pelajar telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan ini satu pencapaian membanggakan.

Ismail Sabri turut meninjau kemudahan serta fasiliti yang terdapat di STAY ATM serta melihat sendiri bagaimana sekolah berkenaan diurus tadbir serta dikendalikan oleh pegawai dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Melalui tinjauan ini, saya turut mendapat gambaran mengenai keperluan dari segi kemudahan atau infrastruktur yang perlu atau boleh ditambahbaik bagi meningkatkan lagi kemampuan operasi sekolah ini,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan dan ATM akan terus menambahbaik pembangunan dari segi pentadbiran dan infrastruktur STAY ATM supaya ia seiring dengan pusat tahfiz terkemuka yang lain.

“Peranan institusi seperti STAY AIM ini juga selari dengan inisiatif Kementerian Pertahanan iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Pertahanan,” kata beliau yang berpuas hati dengan lawatannya itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!