PKP: Ramai tak puas hati bazar Raya, pasar malam dibenar operasi

Suee Lim
Suee Lim
A
A
A

SEKINCHAN - Kerajaan Selangor sentiasa mengambil kira pandangan rakyat termasuk bantahan penganjuran bazar Raya dan pasar malam di enam daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Sabtu ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, beliau sedar ramai dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati apabila bazar Ramadan tidak dibenar beroperasi sedangkan penganjuran bazar Raya dan pasar malam masih boleh diteruskan.

Tegas beliau, perkara itu seharusnya dipandang serius kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana rakyat terutama peniaga bazar Ramadan akan menuntut keadilan berhubung keputusan berkenaan.

"Saya mengambil pendekatan kalau bazar Raya dan pasar malam dibenarkan beroperasi, maka jumlah bilangan pengunjung sepatutnya dihadkan dan diperketatkan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, tindakan penguatkuasaan lebih tegas di bazar Raya dan pasar malam perlu dilaksanakan bagi memastikan semua pengunjung dan peniaga mematuhi Prosuder Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis memantau operasi bazar Raya dan pasar malam.

"Sekiranya ada pengunjung dan peniaga langgar SOP, kita berharap tindakan tegas termasuk kompaun perlu dikenakan kepada mereka yang ingkar," katanya.

Justeru, tegas beliau, tujuan PKP diperketatkan di negeri ini adalah bagi mengekang penularan Covid-19 dan bukannya mewujudkan kluster baharu yang akan memudaratkan kesihatan rakyat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Semakin hari, kita menerima maklumat kes penularan semakin merebak dan kritikal dengan angka positif Covid-19 semakin bertambah.

"Kita ingin memberi keutamaan kepada rakyat supaya mereka boleh berniaga seperti biasa di bazar Ramadan, bazar Raya dan pasar malam, tetapi oleh kerana soal kesihatan rakyat wajib diutamakan.

"Suka tak suka kerajaan negeri terpaksa mengambil pendekatan lebih menyeluruh untuk menyekat secara drastik pergerakan semua rakyat khusus di enam daerah yang dikenakan PKP ini," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak membenarkan operasi bazar Ramadan di enam daerah yang dikenakan PKP bermula Sabtu ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun, penganjuran bazar Raya dan pasar malam di kawasan terlibat dengan penguatkuasaan PKP adalah dibenarkan dengan waktu operasi sehingga jam 10 malam.