X

Kindly register in order to view this article
!

Kes dera kanak-kanak di pusat tahfiz, suami isteri akan didakwa

Mohamad Farouk Eshak
A
A

AMPANG - Sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dengan kes penderaan kanak-kanak di sebuah pusat tahfiz Taman Tun Abdul Razak di sini akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan dan kes telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya.

"Suspek pertama iaitu tenaga pengajar tahfiz akan dituduh dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata manakala pertuduhan kedua adalah di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya melalui kenyataan.

Mohamad Farouk memaklumkan, suspek kedua akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.

Pada 27 April lalu, media melaporkan polis menyelamatkan lapan pelajar yang menjadi mangsa dera di pusat tahfiz itu.

Mohamad Farouk berkata, pemilik pusat tahfiz yang dibuka sejak Oktober 2020 itu ialah pasangan suami isteri.

Kegiatan itu terbongkar apabila salah seorang ibu pelajar berkenaan berjumpa dengan anaknya untuk membayar yuran di pusat tahfiz berkenaan.

"Pengadu mendapati anaknya berada di dalam keadaan ketakutan dan menangis sambil memeluknya dan menyatakan hasrat tidak mahu bersekolah di situ lagi," katanya.

Menurutnya, pengadu membawa anaknya balik ke rumah dan diberitahu bahawa suspek telah menumbuk belakang tengkuk anaknya malah dipukul dengan rotan di bahagian kaki dan tangan sehingga kecederaan di seluruh tubuh badannya.

"Manakala isteri suspek pula ada menampar mangsa di pipi sebanyak empat kali," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!