KASA sasar penghasilan air pulih guna 500 juta liter sehari

Ahmad Masrizal (belakang, kiri) dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (belakang, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen memorendum persefahaman antara SAMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Rashid Ab Rahman (depan, kanan) dan IWK Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Narendran (depan, kiri) di sini hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Masrizal (belakang, kiri) dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (belakang, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen memorendum persefahaman antara SAMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Rashid Ab Rahman (depan, kanan) dan IWK Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Narendran (depan, kiri) di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan penghasilan bekalan air pulih guna di seluruh negara pada kadar 500 juta liter sehari menjelang 2025, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Beliau berkata, ia selaras dengan usaha kerajaan untuk mengasingkan penggunaan air terawat dan air pulih guna agar memberi manfaat kepada rakyat khususnya dalam usaha memastikan bekalan air bersih tidak terjejas.

Katanya, sebagai contoh, di Melaka terdapat 13 zon perindustrian dan rakyat di negeri ini terpaksa bersaing dengan industri dalam penggunaan air terawat untuk aktiviti harian penduduk dan industri.

"Air terawat cukup mahal nilainya dan ia patut digunakan di rumah, manakala air pulih guna untuk kegunaan kilang atau industri.

Perkara ini bukan baharu sebaliknya ia sudah lama diamalkan oleh negara Eropah serta Barat dan ia mampu mengurangkan bebanan permintaan terhadap bekalan air bersih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, turut berlangsung MoU antara IWK Melaka Sdn Bhd (MWI) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Ahmad Masrizal berkata, bekalan air pulih guna akan dihasilkan menerusi pembinaan lebih banyak loji rawatan air guna pulih di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata, sebelum ini usaha berkenaan telah dilaksanakan antara IWK dengan Syarikat Air Selangor dan ia memberi kesan positif terhadap pengurusan air di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini mendapat sokongan KASA serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan ia adalah satu langkah ke hadapan dalam memastikan negara mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, MoU antara SAMB dan IWK bertujuan menjalin kerjasama dalam mempelopori usaha membangunkan air pulih guna di Melaka sebagai salah satu alternatif meningkatkan industri perkhidmatan air yang lebih mampan pada masa hadapan.

Beliau berkata, menerusi MoU itu, IWK bertanggungjawab mengenal pasti lokasi dan kapasiti sesuai untuk projek Loji Rawatan Air Pulih Guna dan kawasan tadahan sesuai untuk projek berkenaan dan mencari pelanggan khususnya di kawasan industri yang bersetuju menggunakan air pulih guna.

"Sementara itu, MoU antara MWI dan KUIM bertujuan memenuhi keperluan sumber tenaga mahir berkaitan bidang pengurusan air dan MWI akan melatih 23,000 tenaga kerja industri air selaras dengan keperluan kompetensi yang ditetapkan SPAN melalui kerangka Pensijilan Kemahiran Malaysia," katanya. - Bernama