Geng remaja aktif pecah sekolah tumpas

Polis tahan remaja lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun, dipercayai aktif melakukan kes pecah lebih 10 buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur.
Polis tahan remaja lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun, dipercayai aktif melakukan kes pecah lebih 10 buah sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Geng remaja yang aktif melakukan kes pecah lebih 10 buah sekolah di sekitar Klang Selatan dan beberapa daerah lain di Selangor serta Kuala Lumpur sejak Disember lalu, tumpas selepas ditahan polis, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua remaja lelaki berkenaan yang berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan susulan laporan berhubung kes pecah pejabat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Menurut laporan daripada wakil sekolah berkenaan, beberapa barang milik sekolah itu telah hilang termasuk tujuh unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit dan wang tunai RM2,000, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM20,000.

“Susulan laporan itu, polis Klang Selatan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah berjaya menahan lima suspek kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kesemua remaja tersebut tercicir daripada persekolahan.

Ketika ditahan, Shamsul Amar berkata, pihaknya turut merampas empat buah telefon bimbit yang tertera Harta Kerajaan SMK Dato Hamzah serta empat buah telefon bimbit pelbagai jenama.

Katanya, kelima-lima suspek direman lima hari sehingga hari ini (Rabu) dan akan ditahan semula bersabit kes pecah sekolah yang lain di daerah Klang Selatan.

Menurut beliau, kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat bersama enam lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

Artikel Berkaitan:

“Suspek juga mengaku bergiat aktif dengan kes pecah sekolah sejak Disember lalu sehingga sekarang di sekitar Daerah Klang Selatan membabitkan lima buah sekolah, Klang Utara (dua sekolah) dan Shah Alam (empat sekolah).

"Selain itu, mereka juga dipercayai terbabit dalam kes pecah sekolah di Petaling Jaya (dua sekolah), Kuala Kubu Bharu (dua sekolah), Subang Jaya (satu sekolah) dan Kuala Lumpur (satu sekolah), tambahnya. - Bernama