X

Kindly register in order to view this article
!

Buat laluan tikus untuk rentas negeri nak balik raya

Roslee Chik
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis mengesan terdapat individu yang bertindak membuat laluan tikus sebagai persediaan awal merentas negeri untuk pulang berhari raya tanpa dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik bagaimanapun berkata, taktik itu berjaya dikesan pihaknya terutama di daerah yang terletak di sempadan negeri seperti Besut.

"Contohnya di Besut, terdapat 11 laluan tikus baharu yang dikesan.

"Sebelum ini, kita mengesan terdapat 15 laluan tikus. Selepas kita bertindak menyekat kesemua jalan dengan memasang kawat besi, ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kawat besi yang sedia dipasang bagi memudahkan laluan mereka.

"Bukan itu sahaja, mereka turut bertindak berani dengan membuat laluan tikus baharu sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 laluan tikus dikesan di daerah itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hamper Aidilfitri Khairunnisa kepada Polis Terengganu di Dewan Redang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Rabu.

Roslee (kiri), Tuan Faizah (duduk di tengah) bersama wakil-wakil Persatuan Khairunnisa sempena majlis penyerahan hamper Aidilfitri di Kuala Terengganu pada Rabu.
Roslee (kiri), Tuan Faizah (duduk di tengah) bersama wakil-wakil Persatuan Khairunnisa sempena majlis penyerahan hamper Aidilfitri di Kuala Terengganu pada Rabu.

Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa), Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abu Rahman (duduk di tengah).

Sementara itu, mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika musim perayaan, Roslee berkata, sebanyak 103 pasukan rondaan pemantauan ditubuhkan bagi membuat rondaan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, ia melibatkan lebih 1,700 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa agensi lain.

"Pasukan ini akan membuat rondaan bermula 1 Syawal di seluruh negeri termasuk kawasan perumahan dan kampung-kampung. Sekiranya ada rumah didapati melanggar SOP, anggota bertugas akan membuat pemeriksaan di dalam rumah.

"Jika didapati ada dalam kalangan tetamu di rumah tersebut melakukan kesalahan melanggar SOP, tindakan akan dikenakan bukan sahaja kepada tetamu, tetapi tuan rumah juga akan dikenakan tindakan," kata beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!