Kutip 100kg sampah plastik

Sukarelawan sedang membersihkan kawasan pesisir pantai.
Sukarelawan sedang membersihkan kawasan pesisir pantai.
A
A
A

PONTIAN - Lebih 100kg sampah terdiri daripada bahan plastik berjaya dikutip kira-kira 200 sukarelawan pada program Jom Selamatkan Seaside 2019 di pesisir pantai awam Pontian di sini.

Pengerusi Skuad Amal Pantai Bestari, Mohd Fairus Mohammad berkata, sambutan diterima cukup apabila sukarelawan bukan sahaja terdiri dari pelajar sekolah tetapi golongan dewasa dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sebelum Pontian, program yang serupa telah diadakan di Kota Tinggi dan Mersing sebelum ini.

“Pesisiran pantai merupakan kawasan bagi orang ramai beriadah bersama keluarga, namun yang perlu dipelihara kebersihannya supaya mereka selesa untuk melakukan aktiviti dan bebas daripada pencemaran.

“Pembersihan bukan sahaja di atas daratan tetapi juga di kawasan celah-celah batu di mana sampah-sampah tersangkut seperti kayu-kayu, tayar, perabot, botol dan sebagainya,” katanya.

Jelas Mohd Fairuz, program seperti ini mula dijalankan sejak 2017 di Kota Tinggi, sebelum diperluaskan ke daerah lain bagi menanam kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan pantai.

Sukarelawan Jom Selamatkan Seaside 2019.
Sukarelawan Jom Selamatkan Seaside 2019.

“Selain fokus kepada golongan pelajar, kami juga menarik penyertaan dari NGO yang lain bagi sama-sama menjayakan kerja-kerja amal tanpa ada bayaran upah dan sebagainya,” jelas beliau yang juga Pengerusi Komuniti Sahabat Darul Takzim.

Artikel Berkaitan:

Menariknya peserta turut membawa bekalan minuman dan makanan serta keperluan lain, membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka menjayakan program ini.

“Antara sekolah-sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Johor Bahru, SMK Kota Jaya, Kota Tinggi, Kolej Tingkatan Enam Pontian, SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman dan SMK Layang-Layang.

“Sukarelawan Johor Darul Takzim @ Joydec, Open Universiti Malaysia (OUM), Merlin Entertainment Grup, Pengakap Kelana Diraja Pontian, Sukarelawan Gugusan Lok Heng dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh Majlis Daerah Pontian (MDP) dan Souther Waste Management (SWM) yang turut membawa menjayakan program ini.

Turut mengambil bahagian, tujuh kakitangan Merlin Entertainment Grup di Legoland, Gelang Patah yang turut berminat menyertai kerja-kerja sukarelawan sempena cuti hujung minggu itu.