Kes rogol Syed Iqmal: Serahan laporan kimia pada 5 Julai

Syed Shah Iqmal (kiri) ditemui di luar Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu selepas prosiding sebutan semula kes rogol yang dipertuduhkan terhadapnya.
Syed Shah Iqmal (kiri) ditemui di luar Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu selepas prosiding sebutan semula kes rogol yang dipertuduhkan terhadapnya.
A
A
A
SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 5 Julai depan untuk serahan laporan kimia bagi prosiding kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 25.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Rihaida Rafie, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan Rabu, untuk serahan baki dokumen iaitu laporan perubatan dan kimia.

Bagaimanapun katanya, hanya laporan perubatan dari Hospital Kajang akan diserahkan kepada mahkamah kerana laporan kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia masih belum diperoleh.

"Pihak kami memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan laporan kimia tersebut, sebaiknya selepas tempoh tiga minggu," katanya.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal tidak membantah permohonan berkenaan.

Beliau berkata, akan menunggu baki dokumen secara keseluruhan sebelum meneliti dokumen tersebut dan menunggu arahan lanjut daripada anak guam.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, jam 11.35 malam pada 11 September 2019 lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Artikel Berkaitan:


Mahkamah Majistret Petaling Jaya pula, pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rogol Syed Iqmal: Dua laporan perubatan diserah kepada mahkamah