Kes rogol Syed Iqmal: Dua laporan perubatan diserah kepada mahkamah

Syed Shah Iqmal (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi sebutan semula kes rogol pada Selasa.
Syed Shah Iqmal (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi sebutan semula kes rogol pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua dokumen laporan perubatan bagi kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful diserahkan kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Ketika sebutan semula kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian berkata, ia merupakan laporan perubatan dari Hospital Shah Alam dan Temerloh.

Bagaimanapun katanya, satu lagi dokumen laporan perubatan dari Hospital Kajang belum dapat diserahkan.

"Laporan itu akan diberi kepada pihak pembelaan pada masa terdekat," katanya.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal mengesahkan ada menerima dokumen berkenaan.

Hakim Rihaida Rafie kemudiannya, menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, jam 11.35 malam pada 11 September 2019 lalu mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.