Serahkan jawatan Setiausaha Agung BN kepada MIC, MCA

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya UMNO menyerahkan jawatan-jawatan penting Barisan Nasional (BN) seperti Setiausaha Agung kepada parti komponen koalisi iaitu MCA dan MIC bagi menunjukkan persepakatan kukuh.
Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh berkata, langkah itu adalah perkara paling wajar dilakukan UMNO sekarang sebagai parti peneraju gabungan berusia lebih 48 tahun itu.Jelas beliau, tindakan itu menampakkan persepakatan parti-parti komponen dalam BN adalah sama rata dengan UMNO tidak dilihat sebagai ‘big brother’.
“(Cadangan serah jawatan penting BN) Itu yang paling wajar dibuat. Bagi jawatan Setiausaha Agung BN, (UMNO) berilah kepada MCA dan MIC.“Itu menunjukkan koalisi kuat antara parti dalam komponen BN dengan nilai persepakatan akan dilihat lebih sama rata dan UMNO tidak dilihat sebagai big brother,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau mengulas teka-teki jawatan Setiausaha Agung BN yang masih belum diisi sehingga kini, walaupun BN sebelum ini mengumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan menggalas tanggungjawab tersebut.