X

Kindly register in order to view this article
!

Belum ada keperluan buka PKRC di Melaka

Rahmad
A
A

MELAKA - Masih belum ada keperluan membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) meskipun ketiga-tiga daerah di Melaka berstatus zon merah, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata, kerajaan negeri pernah beberapa kali memohon kelulusan untuk membuka PKRC, namun Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) belum memberi kebenararan memandangkan asrama kolej jururawat di Hospital Melaka dan PKRC MAEPS Serdang, Selangor masih mencukupi untuk menampung jumlah pesakit Covid-19 bergejala ringan dari negeri ini.

Menurutnya, kapasiti katil di Hospital Melaka kini hanya mencapai 60 peratus daripada 117 katil disediakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 berisiko tinggi biarpun ketiga-tiga daerah telah dikategorikan sebagai zon merah.

Katanya, penggunaan PKRC asrama jururawat dan MAEPS Serdang telah dapat mengurangkan penggunaan katil di Hospital Melaka, namun penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka telah mencapai penggunaan 90 peratus dan penambahan katil akan dilakukan mengikut keperluan.

"Apa yang membimbangkan sekarang situasi Covid-19 di Melaka dalam tempoh beberapa hari ini merekodkan peningkatan kes.

"Ketiga-ketiga daerah iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah merekodkan lebih daripada 40 kes sehari," katanya ketika sidang akhbar selepas Ops Hari Raya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka di sebuah pasar raya di Sungai Udang di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut berkenaan kes Covid-19, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, hampir 20 sekolah rendah dan sekolah menengah ditutup berikutan terdapat penularan kes setakat Selasa.

Menurutnya, penularan itu tidak hanya membabitkan kawasan sekolah, malah aktif berjangkit di rumah ibadah.

"Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir 17 Mei ini, tapi tidak bermakna Majlis Keselamatan Negeri tidak boleh membuat sebarang keputusan atau perubahan sebelum tarikh itu seperti kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!