DOSM tambah bilangan petugas banci kepada 9,000 orang

Nazaria (dari kanan) melihat pembanci, Muhammad Ashraf Alif Muhammad Rafi, 27, yang menjalankan operasi membanci terhadap seorang penduduk Kampung Balai, Bachok, Suriyan Nuhang, 20, sambil diperhatikan Zuraidy Zainal Abidin.
Nazaria (dari kanan) melihat pembanci, Muhammad Ashraf Alif Muhammad Rafi, 27, yang menjalankan operasi membanci terhadap seorang penduduk Kampung Balai, Bachok, Suriyan Nuhang, 20, sambil diperhatikan Zuraidy Zainal Abidin.
A
A
A

BACHOK - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menambah bilangan petugas banci daripada 7,000 ke 9,000 bagi mempercepatkan proses perlaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci Malaysia) 2020 secara bersemuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Perangkawan, Nazaria Baharudin berkata, operasi pembancian itu juga pertama kali merekodkan nombor kad pengenalan penduduk yang dibanci dan disasarkan selesai sepenuhnya pada 30 Jun ini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 memberitahu, Banci Malaysia 2020 sepatutnya dijadualkan bermula Julai tahun lalu namun tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan hanya dimulakan pada Januari lalu menerusi dua kaedah perlaksanaan iaitu bersemuka serta atas talian (e-Census).

“Operasi banci meliputi keseluruhan penduduk Malaysia termasuk warganegara mahupun bukan warganegara dan jangan takut jika pembanci meminta dibacakan nombor kad pengenalan, pasport atau permit.

“Sehingga 2 Mei 2021, seramai 17.7 juta penduduk selesai dibanci iaitu 54 peratus daripada 32.7 juta anggaran penduduk tahun 2020 manakala Kelantan negeri terawal dijangka selesai pada akhir Mei ini dengan 1.4 juta penduduk selesai dibanci daripada keseluruhan 1.9 juta penduduk,” katanya pada Program Turun Padang Banci Malaysia 2020 di Kampung Balai di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah DOSM Kelantan, Zuraidy Zainal Abidin.

Nazaria berkata, operasi pembancian disasarkan ke sembilan juta kediaman di seluruh negara yang akan dilakukan oleh pembanci pada waktu bekerja di kawasan-kawasan kampung manakala selepas waktu bekerja di bandar dan bandar raya.

“Pembanci mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 selain memakai tag identiti sebagai pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami berdepan cabaran bagi membanci kawasan perumahan seperti kondo dan lokasi yang mempunyai akses keselamatan namun berharap pihak pengurusan kediaman dapat memberi kerjasama untuk jayakan Banci Malaysia 2020,” katanya.

Ujar beliau, Banci Malaysia adalah peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia setiap 10 tahun sekali bagi menyatakan keperluan kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, capaian internet serta kemudahan awam iaitu jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.

“Data yang dikumpul menjadi nadi utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dah pihak berkepentingan bagi merangka program serta inisiatif yang lebih bersasar,” katanya.

Untuk rekod berdasarkan laman web rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia mycencus.gov.my pada Banci Malaysia 2010 mencatatkan penduduk di negara ini berjumlah 25.2 juta warganegara iaitu 12.8 juta lelaki dan 12.4 juta wanita dengan 5.6 juta jumlah kediaman manakala 2.3 juta bukan warganegara dengan 443,500 kediaman.