X

Kindly register in order to view this article
!

65 pelajar MRSM, Giat Mara Kuala Lipis ceria terima duit raya

Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima terpilih sambil diperhatikan Che Safie (kanan) pada program Majlis Amanah Rakyat (Mara) Prihatin [email protected] di Dewan MRSM Tun Ghazali Shafie, Lipis pada Isnin.
A
A

LIPIS - Seramai 65 orang pelajar terdiri 42 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghazali Shafie dan selebihnya pelatih Giat Mara Kuala Lipis ceria selepas masing-masing menerima duit raya sebanyak RM150 seorang.

Sumbangan tersebut disampaikan pada program Majlis Amanah Rakyat (Mara) Prihatin [email protected] oleh Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad di Dewan MRSM Tun Ghazali Shafie, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Mara Pahang, Che Safie Che Omar.

Seorang pelajar MRSM, Nur Hadirah Zulkarnain, 17, berkata, dia gembira kerana turut terpilih menerima sumbangan tersebut.

Nur Hadirah Zulkarnain
Nur Hadirah Zulkarnain

Menurutnya, duit itu akan digunakan untuk membeli buku selain sedikit keperluan raya.

"Terima kasih kepada mereka yang prihatin dan sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban keluarga," kata pelajar yang berasal dari Benta, Lipis itu.

Sementara itu, pelatih Giat Mara, Muhammad Faris Aizzat Che Kob, 19, ingin membeli baju raya dengan duit tersebut.

Ujarnya, sumbangan itu tepat pada masanya berikutan dia masih belum memiliki pakaian untuk lebaran.

Muhammad Faris Aizzat
Muhammad Faris Aizzat

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, program tersebut melibatkan pelbagai golongan di daerah terbabit terutamanya Bumiputera B40, anak yatim dan asnaf.

"Kita amat berbesar hati kerana Rural Capital Berhad (RCB) memberi sumbangan duit raya kepada penerima hari ini (Isnin)," ujarnya lagi.

Menurutnya, ia membuktikan Mara terus prihatin demi menjunjung amanah rakyat dalam memastikan komuniti luar bandar memperoleh kemudahan, keselesaan serta meneruskan kelangsungan hidup.

"Selain sumbangan duit raya ini, turut berlangsung ialah penyerahan Cek Pinjaman Kontrak (SPIKE) kepada lima usahawan membabitkan nilai keseluruhan RM750,000.

"Kita juga menyerahkan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tanjung Lipis yang dibina oleh pelatih Giat Mara, di sini dan penyampaian Bakul Kasih Ramadan kepada 10 asnaf," jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!