Bersediakah rakyat Malaysia hadapi PKP 3.0

No Image Caption
A
A
A

PETANDA bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) akan dilaksanakan sudah jelas kelihatan walaupun kerajaan pada dasarnya masih meneliti perkara itu.

Bermula dengan kes harian yang meningkat, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mencadangkan PKP dilaksanakan di negeri-negeri yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi makin menguatkan lagi jangkaan bahawa PKP 3.0 akan dikuatkuasakan.

Ditambah pula dengan perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 didapati melebihi tahap ambang amaran.

Ia berikutan kadar penggunaan katil di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kini masing-masing melebihi tahap 70 peratus.

Lebih membimbangkan, ada antara hospital berkenaan ketika ini menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil 100 peratus.

Suka atau tidak, sekiranya kerajaan melaksanakan PKP, rakyat bawahan tiada pilihan kerana sudah pasti kita tidak mahu apa yang berlaku di India berlaku di Malaysia.

Dan sekiranya PKP 3.0 dilaksanakan, mampukah rakyat Malaysia mengharunginya buat kali ketiga dari segi persediaan kewangan, mental dan fizikal?

Mampu atau tidak, jawapannya ada pada empunya badan kerana setiap daripada kita boleh mengagak jumlah wang simpanan dalam kantung masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Hanya diri sendiri juga yang tahu kesihatan mental dan fizikal masing-masing sama ada mampu bertahan atau tidak menyambut hari raya buat kali kedua dengan pelbagai sekatan dan SOP yang ketat.

Walau apa pun jawapannya, sebenarnya rakyat memerlukan sokongan yang kuat daripada kerajaan untuk mengharungi PKP ini kerana tanpa bantuan kewangan, motivasi mental dan fizikal, kejayaan untuk mengharungi tempoh sukar akan menjadi lebih rumit.

Sama-sama kita berdoa agar kesusahan ini tidak berpanjangan.