X

Kindly register in order to view this article
!

Perkhidmatan awam perlu bebas dari politik: Tok Mat

Mohamad Hasan
A
A

SHAH ALAM - Sistem tata kelola kerajaan yang sebaiknya ialah perkhidmatan awam itu bebas daripada politik, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkhidmatan awam berfungsi melaksanakan dasar yang digubal oleh eksekutif terdiri daripada kalangan ahli politik yang mendapat mandat menerusi pilihan raya.

Menurutnya, operasi kerajaan adalah urusan penjawat awam dan terpulang kepada mereka untuk mengelolakannya serta secara idealnya tiada campur tangan politik.

"Namun dasar yang dilaksanakan mestilah dasar yang digubal oleh Jemaah Menteri dan menepati aspirasi kerajaan dipilih secara demokratik.

"Perkhidmatan awam yang bebas adalah sangat penting. Tanpa kebebasan, profesionalisme perkhidmatan awam akan dikompromi.

"Namun pemisahan total perkhidmatan awam daripada campur tangan politik memerlukan profesionalisme di kedua-dua pihak berada pada tahap paling tinggi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, barisan menteri mestilah sedia maklum dan tahu mengenai had kuasanya.

Menurutnya lagi, perkhidmatan awam pula mesti tahu tugas utama mereka iaitu menterjemahkan dasar dan aspirasi kerajaan dengan profesional dan setulusnya.

"Perkhidmatan awam tidak boleh lari dari pemeriksaan awam. Ia adalah sistem yang dibiayai oleh dana awam, maka standard akauntabiliti kepada rakyat adalah semaksimum mungkin.

"Kerana itu perlu ada pelbagai mekanisme bebas untuk menyiasat, menyemak dan mengemukakan pembaharuan kepada perkhidmatan awam dari semasa ke semasa.

"Pertentangan terbuka antara penjawat awam dengan menteri akan dapat dielakkan jika profesionalisme kedua-dua pihak adalah pada tahap tertinggi," kata beliau.

Tambah Mohamad, Malaysia masih mempunyai jurang pemerintahan yang sangat ketara antara perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

Menurutnya, sektor swasta di Malaysia sudah jauh ke hadapan dalam memperbaiki tata kelola korporat dan perniagaan mereka melalui sistem kawal selia yang aktif dan tegas.

"Ruang penambahbaikan sistem tata kelola kerajaan masih sangat luas. Maka usaha ke arah itu mesti segera digiatkan demi perkhidmatan awam yang bebas dan berkelas dunia. Insya-ALLAH," ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!