DUN Rantau, SPR tunggu perakuan

Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu Perakuan Keputusan daripada Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan keputusan PRU14 bagi DUN Rantau.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata selepas menerima perakuan tersebut, pihaknya boleh mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan PRK di DUN itu.

“SPR mengambil maklum dan akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November 2018.

“Sehubungan itu, SPR perlu menunggu Perakuan Keputusan daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan PRK untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang dikemukakan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan SPR.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Malanjum ketika membuat keputusan itu berkata, Dr. S. Streram mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk mengemukakan petisyen pilihanraya.

Sebelum ini, Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 November tahun lalu memutuskan kemenangan calon BN di DUN Rantau pada PRU14 yang lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Artikel Berkaitan: