Sasar wakaf 10,000 terompah kepada masjid seluruh negara

Sohaimi (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Projek Waqaf Terompah Masjid di Kundang pada Sabtu.
Sohaimi (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Projek Waqaf Terompah Masjid di Kundang pada Sabtu.
A
A
A

KUNDANG - Yayasan Jamin menyasarkan sebanyak 10,000 pasang terompah diwakaf kepada masjid di seluruh negara.

Penaungnya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, menerusi Projek Waqaf Terompah Masjid, ia diharap memberi peluang kepada umat Islam mengejar saham akhirat.

Selain itu, katanya, projek berkenaan diharap dapat memberi keselesaan kepada jemaah masjid untuk berwuduk atau pun beristinjak.

"Alhamdulillah, hari ini (Ahad) Yayasan Jamin berjaya dan dapat memulakan Projek Waqaf Terompah Masjid ke masjid-masjid.

"Saya mulakan dulu di Kundang, Kuang ini dengan 1,000 pasang terompah ke seluruh masjid di sini, juga di sekitar Sungai Buloh.

"Sambutan setakat ini amat memberangsangkan, rakan dan beberapa pertubuhan NGO (Badan Bukan Kerajaan), persatuan masyarakat menunjukkan minat," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Projek Waqaf Terompah Masjid di Kundang di sini pada Sabtu.

Sohaimi berkata, terdapat 9,000 pasang terompah lagi dijadualkan diedarkan di masjid-masjid seluruh negara.

"Insya-ALLAH saya menyasarkan 10,000 pasang terompah dalam masa tiga bulan ini untuk kita sumbangkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sohaimi menjelaskan, idea menjadikan terompah sebagai pilihan projek wakaf tercetus ketika beliau melihat seorang warga emas tergelincir ketika hendak mengambil wuduk di masjid.

"Kebanyakan selipar yang terdapat di masjid licin, berbahaya kepada jemaah dan boleh mendatangkan kecederaan.

"Sejak melihat seorang pak cik tergelincir dan terpaksa menahan kesakitan, saya berasa kasihan.

"Masa itulah tercetus idea apa salahnya saya buat projek wakaf terompah kerana ia lebih tahan lama, berkualiti dan tidak licin serta selamat digunakan.

"Selain itu, terompah juga unik, seni warisan kita dan dapat mengelak terompah ini cepat pupus. Kali ini kita cuba kelainan pula, kita buat terompah sebagai projek wakaf," katanya.

Justeru, Sohaimi meminta kepada sesiapa yang berminat untuk mencari saham akhirat bolehlah menyumbang kepada projek wakaf terompah berkenaan.

"Tak mahal pun, RM30 sepasang, kalau sebuah masjid dapat 10 pasang baru RM300. Mana yang berkemampuan dan rezeki terlebih, apa salahnya menyumbang, pahala dapat dan saham akhirat pun boleh dapat," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan terlibat projek wakaf terompah ini boleh berhubung dengan Yayasan Jamin atau terus menyumbang ke akaun Maybank 562740161099 atas nama Jamin Art Centre dan rujukan terompah.