Tiada masalah guna dana KWAN jika lonjak semula pelaburan

Mohd Syakir
Mohd Syakir
A
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan RM5 bilion dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk kos vaksin Covid-19 atau 31.3 peratus daripada nisbah dana terkini disifatkan jumlah yang besar.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, namun sekiranya KWAN mampu melonjakkan keuntungan pelaburan dalam peratusan lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya, ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada negara.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2019 merekodkan peningkatan kedudukan pelaburan KWAN, iaitu pertambahan RM3,134.34 bilion atau meningkat 24.3 peratus, menjadikan jumlahnya RM16.039 bilion.

“Penggunaan wang KWAN itu tidak meresahkan sebahagian besar rakyat kerana mereka meletakkan harapan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menguruskan kewangan negara bagi membantu meningkatkan kemaslahatan rakyat.

"Sebaliknya, bagi pihak yang memantau secara ‘check and balance’, mereka berpandangan adalah tidak wajar gunakan wang KWAN kerana ia sumber terakhir jika kerajaan tiada peruntukan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, bajet yang diperlukan dalam jangkaan menangani Covid-19 begitu tinggi dan memerlukan masa lebih panjang untuk keperluan vaksinasi.

“Kita tidak terkejut jika kerajaan sanggup peruntukkan wang sebanyak itu bagi membendung penularan Covid-19 kerana ia turut berlaku di seluruh dunia.

"Kerajaan membelanjakan RM17 bilion menerusi Bajet 2021 untuk dana Covid-19, jumlah sebesar itu sememangnya mengganggu perbelanjaan operasi dan pembangunan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Syakir berkata, isu yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu ini wajar diimbangkan sekiranya ada cadangan yang lebih rasional.

“Setakat ini, nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencecah 56.28 peratus, meningkat 3.78 peratus dari tahun 2019. Kiraan ini berasaskan pendapatan KDNK Malaysia yang dicatatkan sebanyak RM1.450 trilion dibandingkan dengan hutang negara sebanyak RM816 bilion.

"Beza jumlah itu menghasilkan pendapatan bersih negara iaitu RM634 bilion. Bagaimanapun, ia masih di tahap terkawal kerana tidak melebihi 60 peratus daripada kadar pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Bajet 2021, kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada jumlah pendapatan KDNK negara. Daripada jumlah itu, RM236.5 bilion disalurkan untuk perbelanjaan operasi, RM69 bilion untuk pembangunan dan RM17 bilion bagi dana Covid-19.

“RM17 bilion yang digunakan itu, masih tidak mampu menampung keperluan untuk mengawal penularan wabak itu.

"Secara kiraannya, bilangan pendapatan negara jika ditolak dengan perbelanjaan Bajet 2021, masih berbaki RM311.5 bilion. Kita tidak nafikan jumlah baki ini digunakan juga dalam perbelanjaan mengurus yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, seeloknya kerajaan mendedahkan kepada rakyat ke mana baki pendapatan disalurkan supaya ia tidak dipersoalkan rakyat.

“Saya percaya rakyat boleh menerima sekiranya memang benar kerajaan tidak ada jalan lain sehingga perlu menggunakan dana KWAN,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan 2016, hanya sekali dana KWAN digunakan kerajaan ketika membiayai ‘Projek Malaysia Wetland Sanctuary’ di Ulu Langat sebanyak RM42 juta sebagai langkah pemeliharaan tanah dan ekosistem.

Pada 27 April, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis Covid-19 berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.

Katanya, penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0 peratus pada akhir 2021. ⠀

Sekiranya kos vaksin RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin meningkat.⠀