Puasa tingkat integriti umat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IBADAT puasa mempunyai keistimewaan tersendiri. Jika solat wajib yang dilakukan dalam sehari semalam mengambil masa beberapa jam, atau ibadat haji yang memerlukan masa beberapa minggu dalam seumur hidup, maka jangka masa berpuasa memakan masa sebulan setiap tahun selagi umur manusia masih ada, dan ketahanan badannya masih dapat menunaikan puasa dengan rukun dan syaratnya yang biasa.

Puasa juga tidak mengganggu tugas harian manusia. Ibadat solat memerlukan pergerakan anggota dan lidah sepenuh masa semasa menunaikannya, demikian juga ibadat haji.

Puasa terus dilakukan walaupun ketika seseorang itu melakukan kerja hariannya, bercakap dan tidur, serta tugas harian lain lagi.

Puasa merupakan ibadat yang ditunaikan dengan meninggalkan beberapa perbuatan dan perilaku kehidupan jasmani yang halal, seperti meninggalkan makan minum dan perkara-perkara lain yang membatalkannya.

Dengan itu maka ibadat puasa memerlukan pergerakan kerohanian dan dalaman tanpa mengganggu pergerakan luaran dalam hidup manusia yang harus dilakukan seperti biasa.

Orang musafir dalam jaraknya yang tertentu boleh membuka puasa dan melakukan qada’nya kemudian, manakala orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, boleh meninggalkan ibadat puasa dengan membayar fidyah dengan kadar yang ditentukan, demikian juga dengan keuzuran lain.

Puasa memerlukan ketahanan diri dan nafsu yang besar, oleh itu ALLAH SWT mengingatkan orang yang menunaikan ibadat pada umumnya, terutamanya ibadat puasa supaya sentiasa mengingati ALLAH yang Maha Kuasa, seperti yang dijelaskan dalam ayat 186 surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu (wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahulah mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka, Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa, apabila ia berdoa kepada-Ku...”

Artikel Berkaitan:

Ayat ini menjelaskan bahawa ALLAH SWT paling hampir dengan makhluk-Nya, maka makhluk juga haruslah sentiasa menghampirkan dirinya kepada ALLAH pencipta nya itu dengan ibadat khusus dan umum, terutamanya dalam memahami segala ajaran dan seruan-Nya, menjauhkan segala larangan-Nya, malah sentiasa memahami segala titah perintah-Nya.

Oleh itu, umat Islam seharusnya menjadi umat yang sentiasa mempertahankan integriti dalam hidupnya.

Ibadat

Puasa merupakan ibadat yang dilakukan dengan penuh amanah dan kesetiaan kepada ALLAH SWT yang mengandungi perutusan supaya sifat sabar menjadi tabiat manusia yang mencari kebenaran dalam segala tingkah lakunya.

Sebab itulah ALLAH SWT meletakkan kedudukan sabar dan solat di kemuncak sama, seperti yang difirmankannya dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:

“Pohonkanlah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

Sabar seperti yang dijelaskan dalam ayat ini, termasuklah menahan nafsu, seperti yang dilakukan dalam ibadat puasa, dan sabar haruslah disertai dengan rasa khusyuk yang diterapkan dalam kehidupan harian, kerana seorang yang menunaikannya haruslah menumpukan segala rasa hati dan pemikirannya kepada kebesaran ALLAH SWT.

Malah ibadat puasa juga merupakan ibadat yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Sungguh pun ibadat puasa dilakukan dalam suasana bekerja, berbual, berjalan dan sebagainya, tetapi hikmah puasa haruslah dipelihara sepanjang masa di bulan Ramadan kerana puasa merupakan peraturan diri, dari lidah dan hati, akal dan pemikiran, pemakanan dan harta benda, perekonomian dan perilaku hidup, menghormati masa dan ketika, menjaga disiplin suami isteri dan masyarakat, termasuk pergerakan harian umumnya..

Untuk matlamat yang baik inilah ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, (ingatlah) orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan ingatlah bahawa bumi ALLAH ini luas, sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja, akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah 39 (Al-Zumar ayat 30)

Nyata sekali di sini bahawa ibadat puasa ialah ibadat yang meningkatkan integriti manusia dalam segenap perjuangan dan keistimewaan hidupnya dunia dan akhirat.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia