PDPPR dirangka tingkat ilmu pilihan raya

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akademi Gagasan Minda Merdeka sedang membangunkan Program Pendidikan Demokrasi, Politik dan Pilihan Raya (PDPPR) bagi meningkatkan ilmu dan pemahaman rakyat mengenai pendidikan pilihan raya dan demokrasi.

Penasihat Kehormat Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka, Muhammad Saedi Abdul Maad berkata, modul-modul yang sedang dirangka dijangka akan siap sepenuhnya untuk digunakan mulai awal tahun depan.

"Satu modul yang lengkap akan siap dalam beberapa bulan lagi. PDPPR ini akan dibuka kepada aktivis parti politik dan juga kepada sesiapa sahaja yang berminat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Akademi Gagasan Minda Merdeka di sini pada Sabtu.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman.

Menurut Muhammad Saedi, berdasarkan kajian dan libat urus yang telah dikendalikan pihaknya dan pandangan yang diketengahkan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan (ERC) tahun lalu, Akademi Gagasan Minda Merdeka mendapati perlu ada PDPPR, yang boleh meningkatkan pengetahuan para pemegang taruh landskap pilihan raya di negara ini terutama rakyat dan para pengundi tentang keperluan pendidikan politik, pilihan raya dan demokrasi.

"Kami mendapati sudah ada keperluan besar dalam aspek ini. Kami yakin usaha ini akan membantu kerajaan terutama Suruhanjaya Pilihan Raya dalam melahirkan masyarakat celik pilihan raya dan politik," kata beliau.

Sempena majlis pelancaran Akademi Gagasan Minda Merdeka, wacana ilmu di bawah tajuk "Melahirkan Pemimpin Politik Yang Berilmu dan Berintegriti" turut diadakan.

Ahli panel terdiri daripada Felow Utama Institut Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff; bekas Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Amerul Muner Mohammad dan pensyarah kanan Jabatan Sains Politik, Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal yakin PDPPR akan berperanan untuk membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses pilihan raya raya dan politik.

"Kita perlu menyediakan ilmu politik dan menggalakkan penyertaan rakyat politik termasuk dalam proses pilihan raya. Saya yakin program seperti ini akan membudayakan proses politik supaya rakyat akan menyertai dengan aktif dan lebih bermakna," katanya.