KPKT bantu bekas atlet kebangsaan miliki kediaman

No Image Caption
A
A
A

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berusaha memastikan permohonan 62 rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada bekas atlet kebangsaan dipenuhi.

Menteri berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, 80 peratus daripada jumlah permohonan itu tidak mengalami sebarang masalah untuk diluluskan namun baki 20 peratus iaitu permohonan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur (KL) berdepan kesukaran atas faktor lokasi.

"Sebagaimana kita (KPKT) bagi peluang kepada bekas artis untuk memiliki rumah, begitu juga kita akan beri kepada bekas atlet kebangsaan. Insya-ALLAH kita boleh memenuhinya.

"Di kawasan seperti Johor, Sabah dan Sarawak kita boleh selesaikan, jadi dalam senarai permohonan itu, 80 peratus kita boleh urus dan selesaikan cuma di Selangor dan KL mungkin ambil masa dan perlu lihat pembangunan baharu atau sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan Kerjasama Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Sebelum ini, seramai 25 penggiat seni veteran menerima surat tawaran menyewa unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan FINAS dan KPKT dengan 19 ditawarkan kediaman PPR Sri Aman Kuala Lumpur manakala enam ditempatkan di PPR Lembah Subang 2.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed tidak menolak kemungkinan lebih ramai bekas atlet bakal membuat permohonan untuk memiliki rumah pertama mereka selepas ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan membuat tapisan terlebih dahulu sebelum memanjangkan hasrat itu kepada KPKT.

Artikel Berkaitan:

"Syarat-syaratnya ialah mereka tidak mempunyai rumah, mereka mestilah golongan B40 dan juga dalam golongan miskin, baru mereka akan dapat rumah itu," katanya.

Terdahulu, Zuraida turut mengumumkan bahawa KPKT melalui PR1MA bersetuju menyumbang 300 unit kerusi roda untuk kegunaan bekas atlet yang merupakan ahli YAKEB.