Perodua Myvi model paling laris

A
A

PERODUA Myvi telah mencapai satu lagi kejayaan dengan lebih 100,000 unit model generasi ketiga berada di jalan raya setakat ini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pihaknya amat gembira untuk mengumumkan bahawa sejak pelancaran Perodua Myvi generasi ketiga pada November 2017, syarikat telah menyerahkan lebih daripada 100,000 unit kepada pelanggan yang dihargai iaitu dengan purata lebih daripada 1,560 unit seminggu.

“Perodua Myvi merupakan model yang paling berjaya dalam sejarah kami. Myvi generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2005 ke dalam pasaran Malaysia yang pada ketika itu didominasi oleh kenderaan sedan.

“Menjelang tahun 2013, ia telah mengatasi jualan keseluruhan kenderaan Kancil (708,000 unit dari 1994 hingga 2009) dan setakat ini, kami telah menjual hampir 1.1 juta Myvi secara keseluruhannya,” kata Zahari.

Tempahan untuk Myvi generasi ketiga telah mencecah 150,000 dan Perodua akan terus bekerja keras untuk memenuhi pesanan itu dalam tempoh yang sewajarnya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Myvi serta memberi galakan dan motivasi kepada kami untuk terus melakukan penambahbaikan supaya kami dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anda.

“Kami kakitangan Perodua tidak pernah lupa bahawa kami adalah syarikat yang mengutamakan insan,” kata Zahari.

Perodua menutup tirai tahun 2018 dengan rekod jualan 227,243 buah kenderaan, menjadikan ia syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Malaysia selama 13 tahun berturut-turut. Perodua telah menjual hampir 3.5 juta kenderaan sejak 1994.