Bazar Jalan Raja Alang, Taman Setiawangsa beroperasi seperti biasa

Kemeriahan bazar Ramadan Jalan Raja Alang yang menjadi tumpuan penduduk sekitar membeli juadah berbuka puasa.
Kemeriahan bazar Ramadan Jalan Raja Alang yang menjadi tumpuan penduduk sekitar membeli juadah berbuka puasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik semula arahan penutupan bazar Ramadan di Jalan Raja Alang dan Taman Setiawangsa.

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, operasi bazar tersebut sepatutnya ditutup selama dua hari pada 1 Mei dan 2 Mei selaras arahan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, DBKL membatalkan arahan tersebut selepas memperoleh maklumat terbaru mengenai status bazar itu dan akan mempertingkatkan kawalan prosedur operasi standard (SOP).

"DBKL membuat keputusan untuk membenarkan bazar ini beroperasi semula dengan menambah bilangan anggota penguat kuasa bagi memastikan SOP dipatuhi.

"DBKL tidak akan berkompromi kepada ketidakpatuhan SOP. Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkuasa terbabit juga mensyaratkan kepada penganjur untuk memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan berkesan.

"Pada masa sama, DBKL masih menunggu keputusan terkini daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung operasi dua bazar Ramadan ini.

"DBKL berharap semua pihak terutamanya pengunjung dan penjaja dapat memberikan kerjasama yang baik dalam memastikan pematuhan SOP di semua Bazar Ramadan yang beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, DBKL mengeluarkan notis penutupan bazar Ramadan Raja Alang dan Taman Setiawangsa menerusi dua siaran media di Facebooknya.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas KKM menjalankan pengesanan kontak menerusi aplikasi MySejahtera mendapati terdapat ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 dikesan di kedua-dua tapak bazar Ramadan tersebut.

Bagaimanapun, entri pemakluman penutupan tersebut telah dipadamkan oleh pengendali Facebook berkenaan.