X

Kindly register in order to view this article
!

Erdogan tuntut Biden betulkan kesilapan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kiri) kini berbalah dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berhubung isu pembunuhan etnik Armenia ketika era pemerintahan empayar Uthmaniyah. - AFP
A
A

TURKI kini berbalah dengan Amerika Syarikat (AS) ekoran kenyataan Presiden AS, Joe Biden pada Sabtu minggu lalu yang mengesahkan bahawa empayar Uthmaniyah pernah melakukan genosid atau pembunuhan kaum terhadap penduduk Armenia pada era Perang Dunia Pertama lalu.

Menurut portal berita CNN, Biden merupakan satu-satunya Presiden AS yang secara rasmi telah mengiktiraf pembunuhan etnik Armenia pada tahun 1915 semasa Perang Dunia Pertama sewaktu pemerintahan kerajaan Uthmaniyah.

Presiden AS itu membuat kenyataan tersebut menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada Sabtu minggu lalu bagi memperingati ulang tahun yang ke-106 bermulanya kejadian pembunuhan tersebut pada setiap 24 April.

Armenia menganggap pembunuhan etnik tersebut mula berlaku pada 24 April 1915 apabila kerajaan Uthmaniyah menahan kira-kira 250 golongan intelektual dan pemimpin komuniti Armenia sebelum mereka dihukum mati.

Sebelum ini, Presiden-Presiden AS mengelak untuk mengggunakan perkataan genosid kerana bimbang ia akan merumitkan lagi hubungan dengan Turki yang juga merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutu penting Washington di Asia Barat.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan disanggah oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sehinggakan Duta AS ke negara tersebut, David Satterfield terpaksa dipanggil untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Luar Turki, Sedat Onal pada Isnin lalu bagi menyuarakan bantahan Ankara terhadap komen yang dibuat oleh Presiden AS itu.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut menolak kenyataan Biden itu pada 24 April lalu menerusi akaun Twitternya dengan membuat hantaran bahawa: "Perkataan tidak boleh mengubah atau menulis semula sejarah."

Malah, pada 26 April lalu, selepas satu meyuarat kabinet, Erdogan kemudian berkata, Biden perlu melihat cermin terlebih dahului sebelum menyalahkan Turki kerana melakukan genosid terhadap sejumlah penduduk Armenia yang beragama Kristian.

Erdogan turut menyelar Biden seperti dilaporkan oleh AFP dengan berkata: "Kita juga boleh bercakap tentang apa yang berlaku ke atas penduduk pribumi Amerika (dibunuh oleh para pendatang Eropah), penduduk kulit hitam dan di Vietnam (AS pernah menyertai peperangan di negara itu bagi menghalang komunis daripada berkuasa)."

Presiden Turki juga berharap Biden akan membetulkan kenyataannya itu secepat mungkin kerana kenyataan yang silap itu memungkinkan hubungan kedua-dua buah negara akan terjejas.

Justeru, Erdogan menjangkakan satu fasa baharu dalam hubungan dengan AS akan berlaku apabila beliau akan menghadiri sidang kemuncak NATO di Belgium pada Jun depan sekali gus mengadakan perbincangan dengan Biden.

Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kenyataan bahawa kerajaan Uthmniyah pernah melakukan genosid terhadap tenik Armenia di luar Kedutaan Amerika Syarikat pada 26 April lalu. - Foto AFP
Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kenyataan bahawa kerajaan Uthmniyah pernah melakukan genosid terhadap tenik Armenia di luar Kedutaan Amerika Syarikat pada 26 April lalu. - Foto AFP

Sebelum ini, pakar-pakar sejarah menyatakan semasa musim panas dan bunga pada tahun 1915, sejumlah orang awam Armenia dipaksa meninggalkan rumah masing-masing dan berjalan kaki melalui lembah-lembah serta lurah di Anatolia untuk menuju ke gurun Syria.

Anatolia yang juga dikenali sebagai Asia Minor kini merupakan wilayah dalam Turki.

Para pemimpin Armenia pernah berkata, sebanyak 1.5 juta penduduk awam Armenia mati kerana kebuluran dan penyakit setelah 90 peratus daripada etnik tersebut di Anatolia diusir keluar dari rumah masing-masing oleh kerajaan Islam Uthmaniyah.

Turki mengaku etnik Armenia diusir tetapi jumlahnya hanya melibatkan ratusan ribu orang dan bukannya 1.5 juta seperti yang didakwa oleh para pemimpin Armenia.

Ankara juga menyatakan bahawa kerajaan Uthmaniyah tidak mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan kaum.

Kerajaan Turki mengaku bahawa kekejaman dan pembunuhan berlaku semasa pemerintahan kerajaan Uthmaniyah tetapi tidak ada sebarang dasar rasmi untuk untuk menghapuskan penduduk Armenia.

Bagaimanapun, menurut portal berita CBS, kerajaan Turki menyatakan kumpulan-kumpulan bersenjata Armenia menjadi ancaman keselamatan ketika itu kerana mereka berpakat secara sulit dengan Empayar Rusia bagi membolehkan wilayah timur kerajaan Uthmaniyah diceroboh.

Sejak kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyah selepas Perang Dunia Pertama, Turki yang mewarisi jajahan takluk empayar tersebut telah menolak sebarang gambaran bahawa layanan terhadap etnik Armenia itu boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk genosid.

Kira-kira 2.5 juta etnik Armenia tinggal ketika era empayar Uthmaniyah kebanyakannya tertumpu kepada enam wilayah di Anatolia timur.

Ketika itu, kerajaan Uthmaniyyah dilaporkan telah menuduh etnik Armenia melakukan pengkhianatan selepas kalah dalam pertempuran dengan tentera Rusia menyebabkan ia mula mengusir etnik tersebut ke padang pasir Syria dan ke tempat-tempat lain.

Menurut portal berita BBC, ekoran itu, sejumlah besar etnik tersebut kemudian dibunuh atau mati akibat kebuluran atau penyakit.

Portal itu juga menyatakan satu perbicaraan telah diadakan antara tahun 1919 hingga 1920 berhubung kekejaman itu yang menyebabkan seorang gabenor tempatan, Mehmed Kemal didapati bersalah dan dihukum gantung kerana kes pembunuhan etnik Armenia di daerah tengah Anatolia, Yozgat.

Justeru, pembunuhan etnik tersebut semasa era kerajaan Uthmaniyyah itu masih kekal sebagai isu yang sensitif buat Turki. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!