Sindiket Warga China guna emper untuk judi

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) ketika sidang media kegiatan judi dalam talian di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) ketika sidang media kegiatan judi dalam talian di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mereka memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, membeli sebuah emper (penthouse) bernilai RM2.9 juta dan menggunakan rumah mewah itu untuk kegiatan perjudian dalam talian melalui aplikasi WeChat.

Emper di tingkat 43 di Jalan Ceylon di sini itu juga dijadikan tempat tinggal 34 rakyat China terbabit yang dipercayai anggota sindiket perjudian berkenaan.

Kegiatan 31 lelaki dan tiga wanita terbabit terbongkar apabila polis menyerbu emper berkenaan pada Khamis lepas dan menahan kesemua mereka yang berusia antara 21 dan 46 tahun terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kesemua mereka telah menetap di rumah mewah itu selama empat bulan.

Rumah itu dijadikan sebagai pusat panggilan bagi sindiket manakala aplikasi WeChat diguna untuk mengiklankan sistem perjudian mereka kepada pengguna di China dan WeChat Pay sebagai platform transaksi wang haram tersebut, katanya pada sidang akhbar di sini hari.

Beliau berkata dalam serbuan pada 9 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap/Perjudian/Maksiat (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Dang Wangi itu, polis turut merampas 54 telefon bimbit pelbagai jenama; 36 komputer pelbagai jenama; modem; anak kunci dan sekeping kad akses rumah itu.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggar RM300,000 manakala pendapatan bulanan bagi sindiket itu pula dianggarkan RM2.16 juta,” katanya.

Mazlan berkata kesemua mereka direman selama 14 hari.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan judi agar menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, cawangan D7 IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran. - Bernama