Suami isteri ditahan berkaitan kes bayi mati didera

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Pasangan suami isteri ditahan berkaitan kes seorang bayi lelaki maut disyaki didera pengasuh di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah hospital kerajaan yang menerima seorang bayi berumur sembilan bulan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki dipercayai pengasuh bayi tersebut.

"Bayi tersebut dibawa ke hospital oleh lelaki berkenaan kira-kira jam 7 petang Selasa.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di mulut dan kecederaan di dubur mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kira-kira jam 8 malam, pihak polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan di sebuah pangsapuri di sini.

"Kedua-dua suspek berumur 35 tahun itu ditahan berdasarkan keterangan saksi yang membantu siasatan kes tersebut.

"Semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod dalam kes dadah iaitu Seksyen 15(1)Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: