KVDT2: Mahkamah tinggi tetap 4 Jun putuskan injunksi Dhaya Maju

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Jun untuk memutuskan permohonan injunksi Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd bagi menghalang kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) daripada mengarahkan syarikat itu menghentikan kerja-kerja di tapak projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Kelang Fasa 2 (KVDT2).

Hakim Datuk Lim Chong Fong menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Khoo Guan Huat yang mewakili Dhaya Maju sebagai plaintif serta Peguam Kanan Persekutuan Asliza Ali bagi pihak kerajaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan syarikat jurutera perunding Opus Consultants (M) Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan.

Terdahulu, Chong Fong menyoal kedua-dua pihak sama ada mereka sedang merundingkan sebarang penyelesaian dan Guan Huat menjawab bahawa wakil syarikat pembinaan itu telah bertemu beberapa pegawai kanan Jabatan Perbendaharaan dan Kementerian Pengangkutan pada awal minggu ini.

Beliau berkata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun turut hadir pada pertemuan itu.

Asliza yang mengesahkan pertemuan itu berkata sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan dibincangkan oleh Kabinet.

"Jabatan Peguam Negara telah diarahkan untuk meneruskan perbicaraan," katanya.

Asliza dalam hujahnya berkata mengikut Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 356), undang-undang menghalang mahkamah daripada mengeluarkan injunksi terhadap kerajaan dan penjawat awam untuk menghalang mereka daripada melaksanakan tugasan rasmi.

Beliau berkata, perintah injunksi akan menghalang defendan melaksanakan tugas umum mereka dan KVDT2 akan terhenti serta tidak dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Guan Huat pula berkata mereka memohon perintah injunksi untuk mengekalkan status quo antara syarikat dan kerajaan sementara menunggu pembatalan saman itu.

“Kami mencabar kerana penamatan ini tidak sah. Kami telah diberhentikan bukan kerana kami tidak melakukan tugasan dengan baik. Syarikat tidak pernah melanggar syarat kontrak dan telah memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada kerajaan. Yang Arif, reputasi, kredibiliti dan kedudukan kami dalam industri kecil dan khusus ini menjadi pertaruhan. Kesan ke atas semua ini adalah tidak terhitung,” katanya.

Guan Huat berkata penamatan itu akan menjejaskan kemampuan syarikat itu untuk membida bagi projek tempatan dan asing pada masa akan datang.

Mahkamah turut membenarkan perintah pada 7 April iaitu Dhaya Maju LTAT menghentikan dan mengosongkan tapak projek KVDT2 dilanjutkan sehingga tarikh keputusan.

Pada 27 Oktober tahun lepas, Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Wee, KTMB dan Opus Consultants berhubung penamatan kontrak syarikat itu dalam projek KVDT2.

Penyataan tuntutan Dhaya Maju LTAT antara lain mendakwa bahawa sehingga kini, notis penamatan rasmi tidak diserahkan kepada syarikat itu dan ia langsung tidak menyedari tentang penamatan itu sehinggalah ia diumumkan Wee dalam satu kenyataan media.

Selain ganti rugi, Dhaya Maju LTAT iaitu syarikat usahasama Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016, memohon deklarasi bahawa keputusan menamatkan kontrak itu adalah tidak sah dan batal.

Pertikaian itu timbul selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan dan ia turut membabitkan projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT. - Bernama