Perlu pinda empat undang-undang sebelum laksana undi 18

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Empat undang-undang perlu dipinda sebelum undi 18 boleh dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, pindahan itu melibatkan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Election Offences Act 1954) dan Elections (Conduct of Elections) Regulation 1981.

"Ini juga termasuk Elections (Registration of Electors) Regulation 2002 dan semua Perlembagaan negeri-negeri untuk merendahkan umur kelayakan menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya ingin bertanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sekarang Parlimen digantung, jadi bilakah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 hendak dipinda," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Takiyuddin dalam satu kenyataan pada Khamis yakin kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil beberapa langkah segera bagi memastikannya perlaksanaan pengundi 18 tahun dapat direalisasikan pada PRU15.

Takiyuddin berkata, kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.

Hassan berkata, sekiranya mahu dipinda di peringkat negeri, langkah tersebut mustahil kerana semua sidang DUN turut digantung ketika ini.

"Jadi bagaimana DUN itu hendak merendahkan umur kelayakan calon-calon bagi DUN? Saya percaya persoalan undang-undang ini tidak boleh diserahkan kepada SPR untuk selesaikan. Ini tugas kerajaan. Apa penjelasan Takiyuddin dalam hal ini," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, adakah kerajaan atau Kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya menggunakan kuasa baginda membuat undang-undang di bawah Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal suatu Ordinan Darurat untuk meminda semua Perlembagaan negeri?

Jelasnya, ini termasuk meminda Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, meminda Elections (Conduct of Elections) Regulations 1981 dan meminda Elections (Registration of Electors) Regulations 2002 supaya semua undang-undang itu selaras dengan Akta (Pindaan) Perlembagaan 2019.

"Tetapi saya fikir dan cadangkan kepada Takiyuddin ada cara lain yang lebih baik dan demokratik untuk melakukan pindaan-pindaan terhadap undang-undang tersebut yang amat penting kerana ia ada kaitannya dengan pindaan Perlembagaan berkenaan Undi 18 tahun itu.

"Cadangan saya kepada kerajaan elok menasihatkan Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa baginda di bawah Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memanggil sidang Parlimen bagi melakukan pindaan ke atas Akta Kesalahan Pilihanraya Tahun 1954 itu.

"Begitu juga kerajaan atau Kabinet boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa baginda di bawah Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dengan melakukan perundingan terlebih dahulu bersama-sama raja-raja di negeri-negeri untuk memanggil semula sidang DUN bagi pindaan ke atas Perlembagaan-perlembagaan negeri," katanya.