Kompaun RM50,000 kepada peniaga sinalau bakas wajar

Hazani menunjukkan bukti bergambar pelanggaran SOP yang dilakukan pemilik gerai sinalau bakas yang dikenakan kompaun baru-baru ini pada sidang akhbar di IPK Sabah, Kota Kinabalu pada Jumaat.
Hazani menunjukkan bukti bergambar pelanggaran SOP yang dilakukan pemilik gerai sinalau bakas yang dikenakan kompaun baru-baru ini pada sidang akhbar di IPK Sabah, Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan kompaun yang dikenakan kepada peniaga sinalau bakas (babi hutan panggang) sebanyak RM50,000 yang tular baru-baru ini adalah wajar dan bukan dibuat sesuka hati tanpa budi bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan itu diambil selepas didapati ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila terdapat aktiviti berkaraoke dan minum minuman keras.

"Pihak PDRM telah menerima banyak aduan terutama daripada penduduk sekitar bahawa peniaga ini menjalankan perniagaan tidak mengikut SOP selain memasang muzik dan berkaraoke hingga lewat malam serta menjual minuman keras," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Jumaat.

Bagaimanapun, Hazani berkata, peniaga terbabit telah memutar belit perkara itu termasuk mengatakan dua lagi pelanggan turut dikompaun.

"Yang sebenarnya, dua pelanggan yang dikatakan itu adalah pekerja kepada pemilik gerai itu. Kita telah bertolak ansur dengan kompaun yang dikenakan dan kita boleh ambil tindakan lanjut sebenarnya tetapi kita nasihat," katanya.

Katanya lagi, PDRM juga mempunyai bukti bergambar bahawa terdapat kesalahan dan pelanggaran SOP yang dilakukan peniaga itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya masyarakat dan netizen tidak memutarbelitkan perkara ini tanpa mendengar penjelasan daripada kedua belah pihak.

"Penularan kisah sebelah pihak ini telah menjadi satu provokasi kepada pasukan keselamatan yang selama ini telah banyak mengguna budi bicara selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tular di media sosial seorang peniaga sinalau bakas di Jalan Sulaman dikenali sebagai Rayner Lingtin berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh polis.

Peniaga terbabit mendakwa bahawa ketika itu operasinya telah ditutup dan perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen dan rata-rata mengecam pihak berkuasa.