Aset rizab rasmi kerajaan persekutuan, BNM berjumlah AS$108.62 bilion

No Image Caption
A
A
A

ASET rizab rasmi kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$108.62 bilion, manakala aset mata wang asing lain pula AS$409 juta setakat 31 Mac 2021.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, BNM menjelaskan, secara keseluruhan butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format ‘Special Data Dissemination Standard’ (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Mac 2021 tetap boleh guna.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang adalah berjumlah AS$5.58 bilion.

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” menurutnya.

BNM menambah, kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$8.93 bilion manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah AS$385 juta pada akhir Mac 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek,” jelasnya.

Menurut bank pusat, unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.37 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Selain itu, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$389.1 juta, tambah BNM.

Artikel Berkaitan:

Menurut BNM, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

BNM juga juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit.

Mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang. - Bernama