Lawak lucah yang jadi kebiasaan

Tangkap layar video seorang pelajar perempuan yang mendedahkan mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor.
Tangkap layar video seorang pelajar perempuan yang mendedahkan mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor.
A
A
A

MINGGU ini, selain berita mengaitkan kisah kompaun selebriti wanita popular iaitu Neelofa dan kisah beberapa peniaga di Kelantan di kompaun RM50,000 kerana berniaga melebihi had yang ditetapkan, muncul satu cerita membabitkan lawak rogol yang berlaku di sekolah melibatkan guru dan pelajarnya.

Ain Husniza Saiful Nizam, 17, menggunakan medium Tik Tok mendedahkan seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Malah, Ain Husniza menceritakan gurauan itu disambut gelak tawa pelajar lelaki sedangkan gurauan itu menimbulkan rasa trauma dalam kalangan pelajar perempuan.

Ain Husniza turut menerima ugutan rogol serta komen berbaur lucah oleh netizen termasuklah individu dalam golongan profesion pendidikan pada artikel wawancara yang diterbitkan oleh portal berita Malaysiakini.

Komen berbaur lucah, body shaming daripada golongan profesion pendidikan itu jelas memburukkan lagi institusi pendidikan negara selain menimbulkan rasa kurang senang terutamanya ibu bapa.

Melihat kepada situasi yang berlaku itu, apa yang boleh kita lihat adalah lawak berbaur lucah sudah dinormalisasikan dalam budaya kehidupan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, melihat kepada sajian program hiburan di kaca televisyen, pelawak-pelawak tanpa segan silu membuat lawak yang mempunyai double meaning − boleh ditafsirkan sebagai lucah.

Lawak itu terus disambut dengan gelak tawa, membuktikan lagi bahawa lawak berbaur lucah sudah dinormalisasikan dalam minda kita.

Artikel Berkaitan:

Pelawak itu bila ditegur, mereka berkata terpulang untuk mengambil sisi positif atau negatif kerana lawak itu bersifat subjektif dan lawak sedemikianlah yang sering menjadi ikutan buat pelajar sekolah yang mindanya masih putih dan bersih.

Berpunca daripada itu, selain bahan pornografi yang mudah diakses, pelajar sekolah merasakan lawak lucah itu sebagai satu perkara biasa kerana minda mereka sudah dinormalisasi di mana lawak lucah itu bukanlah satu kesalahan sebaliknya satu budaya untuk bergurau senda.Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menyelar kejadian lawak rogol berkenaan sambil menyifatkan bahawa guru berkenaan tidak mempunyai rasa hormat terhadap pelajar wanitanya.

Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Asmah Ahmad melalui kenyataannya berkata, menjadi kewajiban seorang guru menjaga tutur kata sepanjang proses pengajaran, bahkan menunjukkan contoh yang baik kepada murid bukan sahaja dari segi tingkah laku, malah juga bahasa.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mengkategorikan bentuk gangguan seksual kepada lima jenis antaranya secara lisan meliputi kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

Trauma

Pendedahan yang buat oleh Ain Husniza itu sedikit sebanyak membuka minda masyarakat di mana sekolah tidak sepatutnya menjadi tempat menimbulkan rasa trauma buat kalangan pelajar sebaliknya tempat paling selamat sama seperti tanda pagar yang ditularkan #MakeSchoolASaferPlace.

Bagi golongan pelajar sendiri, tindakan Ain Husniza itu boleh dikatakan sebagai langkah berani buat pelajar sekolah kerana ada yang mendakwa kejadian gangguan seksual yang berlaku di sekolah sebelum ini tiada noktahnya.

Bapa Ain Husniza, Saiful Nizam Ab Wahab menyifatkan tindakan anaknya itu adalah satu titik mula kepada satu gerakan untuk menyedarkan masyarakat secara keseluruhan bahawa mentaliti remaja sangat sakit dan perlukan rawatan yang segera.

“Ini bukan hal kelakar. Ini bukan perkara lawak,” coret Saiful Nizam di Facebooknya.

Bagi Ain Husniza sendiri, dia tidak mahu perkara yang berlaku menjadi satu kebiasaan buat generasi baharu kerana jika berterusan ia akan menjadi barah yang tiada penawarnya lagi.

* Nurul Riduan Nor Ashaha ialah wartawan Premium Sinar Harian