Kes Covid-19 India pecah rekod baharu global

Lokasi pembakaran mayat korban Covid-19 yang semakin sesak di New Delhi. - Foto: AFP
Lokasi pembakaran mayat korban Covid-19 yang semakin sesak di New Delhi. - Foto: AFP
A
A
A

BENGALURU - Kes jangkitan Covid-19 di India melepasi angka 18 juta pada Khamis selepas mencatatkan hampir 380,000 kes baharu sekali gus memecahkan rekod baharu global.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, New Delhi melaporkan 379,257 kes baharu dan 3,645 kematian dalam tempoh 24 jam selepas negara itu menyaksikan lonjakan kes jangkitan dan kematian luar biasa akibat pandemik tersebut.

Di kebanyakan bandar di seluruh negara, hospital berdepan krisis kekurangan bekalan oksigen dan katil kerana kebanjiran pesakit Covid-19 yang sudah melebihi kapasiti.

Ketika ini, jumlah kematian yang semakin meningkat juga menyebabkan krematorium dan kawasan perkuburan semakin sesak.

Pemerintah India yang dikecam banyak pihak kerana lambat bertindak menangani ancaman gelombang ‘tsunami’ kedua Covid-19 itu memaklumkan ia akan membuka program vaksinasi kepada kesemua golongan dewasa bermula Sabtu.

Sebelum ini, ia mengehadkan suntikan imunisasi itu kepada individu berusia lebih 45 tahun dan kumpulan tertentu.

Beberapa negeri bagaimanapun memberi amaran ia tidak mempunyai bekalan vaksin mencukupi untuk menjayakan kempen itu selepas lebih lapan juta individu telah mendaftar.

Difahamkan, kira-kira sembilan peratus daripada 1.3 bilion populasi di India telah menerima dos suntikan pertama yang memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan dan golongan emas sejak program vaksinasi itu bermula pada Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sejak awal minggu lalu, lebih 40 negara menzahirkan komitmen untuk menghantar bantuan perubatan penting seperti bekalan oksigen yang semakin berkurangan di negara itu.

Setiausaha Luar, Harsh Vardhan Shringla berkata, bekalan itu termasuk lebih 4,000 penumpu oksigen, 10,000 silinder oksigen dan 17 tangki kriogenik.

Menurutnya, ratusan ribu dos ubat rawatan Covid-19, remdesivir, favipiravir dan tocilizumab serta bahan mentah untuk menghasilkan vaksin dan remdisivir. - AFP