100 hari pertama Joe Biden memberangsangkan

Biden diiringi Naib Presiden, Kamala Harris (kiri) dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi ketika berucap pada sesi bersama di Kongres pada Rabu. - Foto: AFP
Biden diiringi Naib Presiden, Kamala Harris (kiri) dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi ketika berucap pada sesi bersama di Kongres pada Rabu. - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Ketika Joe Biden mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS) lebih tiga bulan lalu, beliau telah menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab dan cabaran besar yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Ia meliputi krisis ekonomi, pandemik Covid-19 dan perpecahan politik serta kaum yang mencalarkan imej negara tersebut.

Biden mengambil alih Rumah Putih dengan pelbagai agenda utama yang sebahagian besarnya adalah janji beliau kepada para penyokongnya ketika berkempen pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Dalam tempoh 100 hari pertama, Presiden Demokrat itu menunjukkan kewibawaannya untuk menunaikan janji dan bertindak segera terhadap masalah serta isu yang ditinggalkan pendahulunya, bekas Presiden, Donald Trump.

Pada usia 78 tahun, beliau yang sering melontarkan 'Amerika sudah kembali' merupakan Presiden tertua yang memegang tampuk pemerintahan di negara tersebut.

Namun, prestasinya sehingga Khamis nyata mengejutkan banyak pihak yang pada mulanya agak sangsi dengan keupayaan beliau untuk membawa semula negara yang kucar-kacir di bawah pentadbiran Trump ke landasan yang betul.

Tepati janji

Sebelum ini, bekas Naib Presiden di bawah pentadbiran Presiden ke-44 AS, Barack Obama itu pernah berikrar untuk memulihkan Amerika yang berada di tangga teratas negara paling teruk terjejas akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sebagai bukti beliau benar-benar menepati janjinya, program vaksinasi telah menyaksikan 200 juta suntikan berjaya diberikan pada minggu lalu.

Selain itu, pelan penyelamat Amerika atau pakej bantuan ketiga berjumlah AS$1.9 trilion (RM7.8 trilion) yang dicadangkan beliau bertujuan untuk menyuntik wang kepada setiap sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik tersebut turut diluluskan Kongres pada Mac lalu.

Terbaharu, Biden mengumumkan rancangan transformasi di bawah Pelan Pekerjaan Amerika bernilai AS$2 trilion (RM8 trilion) yang akan merombak infrastruktur AS membabitkan pelbagai aspek termasuk rangkaian jalur lebar dan pengangkutan.

Pelan seterusnya pula adalah Pelan Keluarga Amerika bernilai AS$1 trilion (RM4.1 trilion) untuk membiayai penjagaan dan pendidikan kanak-kanak serta menaikkan cukai ke atas golongan kaya dan cukai korporat.

Anggota parti Republikan kelihatan kurang selesa dengan pencapaian Biden yang agak membanggakan berbanding Trump yang sarat dengan kontroversi sejak hari pertama beliau menguasai Rumah Putih.

'Amerika sudah kembali'

Ketika menjejakkan kaki ke Pejabat Oval, Biden sudah menyuarakan hasrat beliau untuk mengubah nasib bumi yang semakin membimbangkan akibat fenomena pemanasan global dan perubahan iklim.

Pada Februari lalu, AS kembali menyertai Perjanjian Iklim Paris secara rasmi malah Biden juga menetapkan sasaran dua kali ganda untuk mengurangkan gas rumah hijau.

Di pentas global, Biden juga bertindak segera terhadap dasar luar dan cuba meyakinkan sekutu mereka 'Amerika sudah kembali' di samping berhasrat memulihkan hubungan bersama China, Iran, Korea Utara dan Rusia yang agak tegang ketika di bawah pentadbiran Trump.

Ketika ini, beliau cuba untuk menghidupkan semula rundingan nuklear Iran malah beliau mengumumkan pengunduran kumpulan terakhir pasukan tentera AS yang terlibat 'perang paling lama' di Afghanistan menjelang 11 September depan.

Keputusannya menjemput Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga sebagai pemimpin asing pertama ke Rumah Putih menunjukkan Washington serius dengan hubungan bersama Asia.

Pada bulan depan, beliau juga akan mengadakan lawatan pertama ke Eropah untuk menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU), G7 dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Berhubung isu imigrasi, pentadbiran Biden berjanji untuk menggunakan pendekatan lebih kemanusiaan selepas Trump mengambil pendekatan agak kontroversi termasuk mendirikan tembok pemisah di sempadan AS-Mexico bagi mengekang kemasukan pendatang haram di negara itu.

Bagaimanapun, keputusan beliau termasuk menyediakan kemudahan migran untuk menempatkan kanak-kanak pelarian tanpa pengawasan orang dewasa telah mencetuskan kritikan Republikan.

Janji pentadbiran Biden untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelarian ke AS sebagai usaha menamatkan dasar toleransi sifar yang dilaksanakan Trump juga menerima reaksi negatif pelbagai pihak selepas ketibaan golongan itu meningkat sehingga 71 peratus pada Mac lalu.

Prestasi memberangsangkan

Keputusan tiga kaji selidik dilakukan pada akhir minggu lalu menunjukkan majoriti rakyat Amerika menyokong prestasi Biden sepanjang 100 hari pertama beliau bergelar Presiden ke-45 AS.

Tinjauan CBS mendapati beliau memperoleh 58 peratus sokongan manakala NBC mendapati 53 peratus menyokong pencapaian beliau.

Sementara itu, kaji selidik oleh ABC dan The Washington Post menunjukkan Biden meraih 52 peratus sokongan.

Pencapaian paling membanggakan Biden adalah cara pentadbiran beliau mengendalikan pandemik Covid-19 yang memperoleh 64-69 peratus sokongan selepas pendahulunya mengambil sikap sambil lewa dan memandang rendah ancaman wabak itu yang telah merekodkan 32.2 juta kes jangkitan dan 3.1 juta kematian.

Secara keseluruhan, tinjauan itu menunjukkan 52-58 peratus orang dewasa Amerika bersetuju dengan langkah pemulihan dibuat Biden.

Selain itu, pencapaian Biden adalah jauh lebih tinggi berbanding Trump sepanjang tempoh beliau memegang tampuk pemerintahan dan mencatatkan rekod paling rendah sebanyak 34 peratus ketika penggal pentadbirannya berakhir pada 20 Januari lalu. - AFP

Biden pernah berikrar untuk memulihkan Amerika yang berada di tangga teratas negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 selepas beliau mengambil alih Rumah Putih pada 20 Januari lalu. - Foto: Agensi
Biden pernah berikrar untuk memulihkan Amerika yang berada di tangga teratas negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 selepas beliau mengambil alih Rumah Putih pada 20 Januari lalu. - Foto: Agensi