Dua kakitangan badan berkanun di Sabah ditahan SPRM

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua kakitangan sebuah badan berkanun negeri Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM2,700 pada Rabu.

Menurut sumber, wang itu diminta daripada pekerja yang menjalankan kerja pertanian di badan berkanun tersebut sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak kerja berkenaan.

Salah seorang suspek yang berusia 40an ditahan dalam satu operasi di Tuaran, kira-kira jam 3.15 petang.

Susulan daripada penahanan suspek pertama, telah membawa kepada penahanan suspek kedua yang berusia 30an pada kira-kira jam 8 malam di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Turut dirampas wang tunai berjumlah kira-kira RM3,500 dipercayai juga diterima secara rasuah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

Beliau memaklumkan kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya.

Artikel Berkaitan: