Dua premis disyaki curi air diserbu

Penyambungan paip secara haram yang dikesan.
Penyambungan paip secara haram yang dikesan.
A
A
A

SEREMBAN - Dua premis diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah hostel dan bengkel kereta di Senawang.

"Siasatan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur bersaiz 14mm tanpa melalui sebarang meter.

"Bekalan air yang didapati daripada sambungan tidak sah itu dikenal pasti digunakan untuk aktiviti harian premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, serbuan kedua pula dilakukan ke atas sebuah bengkel motosikal di Seremban dan pemeriksaan mendapati penghuni premis membuat penyambungan tanpa melalui sebarang meter SAINS setelah tindakan pemotongan bekalan akibat tunggakan.

Katanya, bekalan air yang diperoleh dipercayai digunakan dalam pelbagai aktiviti harian penghuni premis yang tinggal di tingkat satu dan dua premis.

Sains membuat pemeriksaan air dari paip yang disambung secara haram.
Sains membuat pemeriksaan air dari paip yang disambung secara haram.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Ujian klorin yang dilakukan juga menunjukkan bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak SPAN menyita semua punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada para penghuni premis berkenaan.

Beliau berkata, SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW)," katanya.