Penjualan bunga api Aidilfitri dibenarkan dengan peraturan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjualan bunga api sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri dibenarkan dengan peraturan ditetapkan oleh polis.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Polis Diraja Malaysia, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207) sekiranya melanggar syarat ditetapkan polis.

"Antara syarat perlu dipatuhi peniaga kecil, peruncit atau pasar raya adalah warganegara Malaysia, lesen berniaga yang mengandungi senarai bunga api jenis happy boom dan pop-pop hendaklah dipamerkan bagi tujuan pemeriksaan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

"Tempoh jualan hanya dibenarkan selama 30 hari (15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan), tertakluk kepada budi bicara dan kelulusan Pesuruhjaya Polis atau Ketua Polis Negeri.

"Selain itu, penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya atau penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya (wholeseller hypermarket) atau pusat membeli-belah adalah dibenarkan dengan bersyarat iaitu mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui oleh bahagian persenjataan PDRM, mempunyai lesen perniagaan (SSM) dan permit PDRM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, bagi peniaga kecil dan bazar bersyarat adalah dibenarkan dengan mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui oleh bahagian persenjataan PDRM, mempunyai kebenaran berniaga daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan permit PDRM.

"Manakala perniagaan runcit seperti 7-eleven, 99 speedmart, Mr DIY dan lain-lain yang seumpamanya hanya dibenarkan menjual satu jenis bunga api sahaja iaitu pop-pop dan mempunyai permit PDRM," katanya.

Katanya, terdapat larangan yang turut dinyatakan dalam penjualan bunga api antaranya tidak dibenarkan menjual bunga api kepada pembeli berumur kurang 18 tahun.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, urus niaga secara dalam talian atau menerusi sebarang aplikasi media sosial turut tidak dibenarkan selain restoran atau kedai makan juga tidak dibenarkan menjual bunga api.

Beliau turut menegaskan, terdapat sembilan jenis bunga api happy boom bagi kategori jualan umum sempena musim perayaan (bersyarat) yang tidak boleh diniagakan oleh peniaga kecil atau peruncit dan pasar raya.

Antaranya adalah Happy Boom Red Cracker (8 inci), Happy Boom Red Cracker (Cake), Happy Boom Celebration Red Fire Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeater (1 inci 49 shot).

Turut tidak dibenarkan Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeate (1.5 inci 138 shot), Happy Boom Shoot Cake (1 inci 16 shot), Happy Boom Shoot Cake (1 inci 25 shot), Happy Boom Shoot Cake (1 inci 36 shot), Happy Boom Tikus 50 (50 Misile).