Desak Ahmad Faizal letak jawatan: Itu tindakan sabotaj!

Adam Asmuni
Adam Asmuni
A
A
A

IPOH - Bekas calon Ahli Parlimen Bersatu pada PRU14 menyelar perbuatan beberapa pemimpin bahagian parti itu membuat sidang media mendesak Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berundur atau meletakkan jawatan semalam.

Bekas calon Ahli Parlimen Bagan Serai, Adam Asmuni berkata, langkah kumpulan bekas pemimpin bahagian Bersatu berkenaan mengadakan sidang media mengkritik kepimpinan Ahmad Faizal dengan pelbagai dakwaan kurang berasas adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab bertujuan mensabotaj parti.

Menurutnya, pihaknya berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan tertinggi parti yang memutuskan pembubaran jawatankuasa di beberapa bahagian dalam negeri Perak.

"Saya yakin dan percaya keputusan itu tidak dibuat bersendirian. Oleh demikian, saya menyeru ahli-ahli di semua bahagian terlibat kekal bertenang dan terus bersama parti.

"Saya berdiri teguh di belakang Datuk Seri Ahmad Faizal selaku Pengerusi Badan Pimpinan Negeri dalam menerajui Bersatu Perak," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Adam berkata, pihak turut mendesak agar keahlian semua pemimpin bahagian terlibat dalam sidang media itu digantung dan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin parti.

Menurutnya, kesemua ahli jawatankuasa dari 13 bahagian Bersatu Perak terlibat dengan pembubaran itu sepatutnya bermuhasabah diri mengapa ianya diputuskan sedemikian.

"Semoga Bersatu Perak akan terus kuat dan kukuh walaupun pelbagai rintangan yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pembubaran jawatankuasa Bersatu bahagian Bagan Serai, Adam menegaskan satu proses lantikan baharu dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya berharap lantikan baharu mengambil kira pelantikan pemimpin berkebolehan, berpotensi dan boleh membantu parti ke arah mengukuhkan peluang PRU akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN Desak Ahmad Faizal letak jawatan