Langkah tepat mansuh UPSR, PASR

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) telah bermula pada tahun ini disifatkan tepat dengan sistem pendidikan era moden pada masa kini.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Johor, Mohd Tarmizi A Razak berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman dibuat Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung pemansuhan UPSR dan PASR berkenaan.

Katanya, pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu membolehkan Penilaian Bilik Darjah (PBD) dapat diperkasa dan diaplikasikan sepenuhnya dengan sebaik mungkin.

"GPMS melihat PBD adalah satu penilaian inklusif yang tidak hanya berpaksikan dan berorientasikan peperiksaan.

"Penilaian sepanjang tahun juga akan memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai aspek akan berlaku tidak hanya dalam bidang akademik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohd Tarmizi, dalam zaman yang semakin maju ini, kecemerlangan akademik semata-mata tidak akan menjamin kecemerlangan hakiki.

"Seorang murid mestilah seimbang dari segi akademik, kokurikulum, ko-akademik, sahsiah, moral dan sihat fizikal untuk bersaing dalam arus yang makin mencabar.

"GPMS yakin dalam tempoh kurang daripada lima tahun, produk hebat dan cemerlang daripada PBD akan muncul dan menjadi kayu pengukur kepada sistem pendidikan era moden," katanya.

Artikel Berkaitan: