Penagih dadah mengamuk ugut cedera ibu ditahan

Gambar hiasan.(Gambar kecil: Nurulhuda)
Gambar hiasan.(Gambar kecil: Nurulhuda)
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditahan kerana mengamuk dan mahu mencederakan ibunya di sebuah rumah di Taman Sri Kerayong Kapar di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek berusia 40 tahun telah ditahan pada jam 12.45 tengah hari.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Kapar telah pergi ke lokasi setelah menerima maklumat mengenai insiden itu.

"Setibanya di lokasi, wanita itu telah menunjukkan suspek berada di dapur rumah sebelum diberkas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nurulhuda berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan di tubuh badan suspek sebelum dia menyerahkan satu tiub straw mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 1.10 gram.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis opiate," katanya.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Suspek telah ditahan reman bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: