Bekas pengerusi JKKK didenda seleweng dana surau

Zulkifli didenda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menipu dana sumbangan pembinaan surau berjumlah RM350,000.
Zulkifli didenda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah menipu dana sumbangan pembinaan surau berjumlah RM350,000.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan menipu melibatkan dana sumbangan pembinaan surau berjumlah RM350,000 pada empat tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Zulkifli Othman, 59, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memperdayakan Datuk Rusnah Kassim dengan mendorong beliau untuk mempercayai bahawa bayaran RM350,000 adalah sumbangan bagi membina surau baharu di tapak surau lama di Kampung Kubu, Tanjung Malim pada 15 Mac 2017.

Tindakan tertuduh itu mendorong Rusnah yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika itu memohon sumbangan berjumlah RM350,000 kepada Pejabat Menteri Besar untuk diluluskan pengeluaran cek.

Sumbangan yang telah diluluskan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama penerima JKKK Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubok Salak di mana kerja-kerja pembinaan surau baharu itu masih tidak dilaksanakan sehingga kini.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh bagaimanapun telah dilepaskan dan dibebaskan bagi dua pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Hisham Nazir.

Pada prosiding tersebut, Indra Nehru turut mengarahkan wang simpanan berjumlah RM203,686.45, sebuah kereta Honda Civid bernilai RM33,500 dan sebuah komputer riba dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Media pada 14 Januari 2020 melaporkan, Zulkifli yang juga bekas Ketua Kampung Lambak, Cabang Lima dan Lubuk Salak mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tiga pertuduhan menyeleweng dana sumbangan pembinaan surau berjumlah lebih RM350,000.