Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya

Orang ramai berada di lokasi kejadian selepas berita mangsa didakwa lemas dibaham buaya.
Orang ramai berada di lokasi kejadian selepas berita mangsa didakwa lemas dibaham buaya.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki hilang selepas dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi di Sungai Berantian pada malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Mazlan Ampung, 26, tidak ditemui sehingga kini walaupun usaha mencari dan menyelamat dilakukan sejak dilaporkan hilang.

Menurut adiknya, Asriansyah Ampung, 21, ketika kejadian dia berada di rumah rakan yang terletak tidak jauh dari sungai di lokasi abangnya yang sedang mandi.

"Saya terdengar suara abang menjerit sebanyak empat kali meminta tolong, dua kali suaranya kuat manakala dua kali lagi suaranya sudah lemah.

"Saya bergegas ke sungai dan apabila sampai, air sungai kelihatan berbuih dan bergelombang. Saya syak dia mungkin dibaham buaya kerana sebelum ini memang terdapat kelibat haiwan itu di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat abangnya segera dilakukan selepas melaporkan kejadian itu kepada pasukan penyelamat.

"Kira-kira jam 9 malam, pasukan penyelamat tiba untuk operasi mencari dan menyelamat namun tidak berhasil sebelum disambung semula kira-kira jam 8 pagi hari ini (Rabu).

Artikel Berkaitan:

Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba dan beberapa pasukan penyelamat lain di Sungai Berantian, Tawau.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba dan beberapa pasukan penyelamat lain di Sungai Berantian, Tawau.

"Sehingga kini, kami belum mendapat sebarang petunjuk dan berharap dia selamat," katanya.

Asriansyah memaklumkan kali terakhir dia berjumpa abangnya pada pagi sebelum kejadian.

"Dia jarang berada di rumah dan pagi sebelum kejadian dia ada mengambil tayar motosikal," katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.43 malam.

"Laporan awal memaklumkan mangsa dibaham buaya ketika mandi di Sungai Berantian dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 65 kilometer dari balai.

"Usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga hari ini (Rabu)," katanya.