Peniaga colek pula dikompaun RM50,000

Aneka colek Ramadan yang dijual oleh pasangan peniaga, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isteri, Nik Nawati Nik Lah, 38, di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Aneka colek Ramadan yang dijual oleh pasangan peniaga, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isteri, Nik Nawati Nik Lah, 38, di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Rupa-rupanya bukan satu tetapi dua peniaga yang dikompaun RM50,000 di Kelantan membabitkan satu lagi peniaga colek Ramadan di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa di sini kerana didakwa berniaga melebihi masa ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.

Peniaga berkenaan, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isterinya, Nik Nawati Nik Lah, 38, mengakui anggota polis telah datang ke kedainya yang terletak di hadapan kediaman mereka pada jam 11.30 malam.

Mohd Azizi berkata, ketika itu mereka masih berada di kedai tetapi sudah menutup lampu dan mengemas barangan sebelum naik ke rumah.

“Cuma, isteri sahaja yang masih menggoreng keropok untuk makan bersama anak-anak, tiba-tiba polis datang meminta kad pengenalan dan memberitahu saya telah melakukan kesalahan kerana berniaga melebihi masa ditetapkan lebih daripada jam 10 malam ketika PKP.

“Saya akui dan faham dengan tindakan dilakukan pihak polis itu, namun tidak menyangka pula nilai kompaun yang ditulis itu adalah RM50,000,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Menurutnya, dia pada mulanya menyangkakan jumlah kompaun tersebut hanya RM5,000 kerana notis ditulis dalam keadaan samar-samar dan ketika itu lampu kedai juga sudah pun ditutup.

“Apabila saya sedar rupa-rupanya jumlah itu adalah RM50,000, terkejut bukan kepalang sehingga tak mampu nak berkata apa-apa.

“Buntu saya memikirkannya sampai ke hari ini, sahur pun minum air sahaja sebab tidak lalu nak makan nasi. Mana nak 'cekau' RM50,000,” katanya.

Bagaimanapun pasangan tersebut turut sama melakukan rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu pada Selasa bagi memohon jumlah kompaun yang dikenakan itu dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengharapkan sepenuhnya hasil perniagaan jual colek pada Ramadan dan mi celup pada hari-hari biasa. Ketika PKP, tempoh perniagaan amat pendek untuk peniaga colek seperti kami sekitar dua jam sahaja kerana orang makan colek pada waktu malam.

“Saya berharap sangat sebab kami ada tanggungan ramai iaitu lima anak kandung dan tiga anak saudara dengan tujuh daripadanya berusia 16 sehingga 5 tahun masih bersekolah dan rumah bersama kedai ini pun sewa RM400 sebulan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000

Sebelum ini media melaporkan, pada hari sama, seorang peniaga burger di negeri ini juga dikenakan kompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga lebih masa pada tempoh PKP di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Jalan Panji.

Peniaga berkenaan, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, didatangi sekumpulan anggota polis pada jam 11.21 malam susulan dikatakan menerima aduan berhubung perkara demikian.