Kes penipuan pelaburan di Negeri Sembilan meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Kes penipuan pelaburan di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatatkan sebanyak 69 kes dalam tempoh Januari hingga Isnin berbanding 24 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, sebanyak RM2.3 juta kerugian dicatatkan pada tahun ini berbanding RM888,056 tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket penipuan ialah dengan mengiklankan pelaburan ditawarkan di media sosial sama ada di Facebook, WhatsApp dan WeChat.

Menurutnya, sindiket kemudian menghubungi mangsa sebelum memasukkannya dalam kumpulan tertentu dengan menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

"Mangsa juga diberitahu bahawa bayaran akan dimasukkan ke dalam akaun individu.

"Jenis pelaburan ditawarkan ialah saham, Forex, perniagaan dan emas. Saham merekodkan antara kes tinggi iaitu 15 kes dengan kerugian sebanyak RM127, 534.30," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, dalam tempoh empat bulan ini, seramai 69 individu ditangkap bagi membantu siasatan termasuk empat sudah diambil tindakan perintah sekatan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Menurutnya, sebanyak 26 nama yang digunakan dalam kes penipuan pelaburan telah disiasat pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat dinasihatkan supaya jangan percaya janji pulangan tinggi dalam tempoh pendek dan jika arahan pelaburan dimasukkan ke akaun persendirian kerana ia adalah 'scam'.

"Sila buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang digunakan di laman sesawang 'Semak Mule CCID'.

"Walaupun pada peringkat awal kemungkinan tiada laporan polis dibuat, tapi jika dikesan banyak kali semakan dibuat ke atas sesuatu nombor berkenaan, ia akan memberikan 'red flag' kepada polis dan orang awam lain, "katanya.