X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Sempat bergurau sebelum cucu ditemui lemas

Muhammad Huffaz Wafri ditemukan lemas di dalam tali air yang jaraknya hanya 100 meter dari rumah datuknya di Kampung Jambu Merah, Melor pada petang Isnin.
A
A

KOTA BHARU - Seorang datuk tidak menyangka gurauan manja berebut alat kawalan jauh televisyen menjadi kenangan terakhir sebelum cucunya berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Jambu Merah, Melor pada petang Isnin.

Che Mohd Noor Awang, 61, berkata, khabar duka itu hanya diketahuinya selepas dia selesai menunaikan solat fardu asar.

"Bagaimanapun, isteri saya Roslia Mahmud, 55, terlebih dahulu mengetahui kejadian menimpa Muhammad Huffaz Wafri Mohd Zulfika.

"Namun dia rahsiakan dahulu kerana bimbang kesihatan saya yang menghidap penyakit lemah jantung," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Jambu Merah di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian Muhammad Huffaz Wafri ada datang meminta alat kawalan jauh untuk menonton televisyen.

Katanya, alat kawalan jauh itu tidak diberikannya kerana televisyen tersebut baharu sahaja dibaik pulih selepas tetapan berubah mentebabkan isyaratnya gagal berfungsi.

Che Mohd Noor yang menjaga cucunya itu sejak lahir berkata, Muhammad Huffaz Wafri kemudian diminta untuk bersama dengan neneknya kerana dia mahu berehat seketika.

Dia berkata, sebelum itu cucunya sempat minum susu.

Che Mohd Noor Awang menunjukkan gambar terakhir cucunya, Muhammad Huffaz Wafri yang diambil pada Ahad malam.
Che Mohd Noor Awang menunjukkan gambar terakhir cucunya, Muhammad Huffaz Wafri yang diambil pada Ahad malam.

"Sejujurnya saya tidak sedar bagaimana dia boleh keluar dari rumah, mungkin neneknya terlelap masa dia keluar," katanya.

Che Mohd Noor berkata, kejadian itu disedari oleh isterinya selepas ada jiran yang datang ke rumah dan memaklumkan perkara tersebut.

Menurutnya, cucunya itu ditemukan terapung di dalam tali air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah.

Dia berkata, ibu bapa Muhammad Huffaz Wafri masih lagi dalam perjalanan pulang ke kampung kerana mereka menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, polis menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 4.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Mahligai di sini dan disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut mendapati kes itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah malah tiada langsung sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!